Lelaki meringkuk 25 tahun dalam penjara kerana salah hukum

Mahkamah di bandar Liaoyuan memutuskan bekas banduan, Liu Zhonglin dibayar ganti rugi sebanyak 4.6 juta yuan. (Gambar AFP)

CHANGCHUN: Seorang lelaki yang menjalani hukuman penjara selama 25 tahun di timur laut wilayah Jilin China dibebaskan dan dilepaskan selepas didapati berlakunya salah laksana keadilan.

Menurut agensi berita Xinhua, sebuah mahkamah di bandar Liaoyuan pada Isnin memutuskan Liu Zhonglin perlu dibayar ganti rugi sebanyak 4.6 juta yuan (kira-kira AS$670,000).

Pada 1990, seorang wanita ditemui mati di sebuah ladang oleh penduduk kampung di daerah Dongliao. Liu kemudian ditahan dan dituduh melakukan jenayah itu.

Liu dijatuhi hukuman mati pada 1994 sebelum hukuman diringankan kepada 25 tahun penjara.

Beliau dibebaskan pada 2016 dan pada April 2018 mahkamah tinggi memutuskan sabitan terdahulu tidak mempunyai fakta jelas dan bukti yang cukup.

Dalam usaha melindungi hak mereka yang teraniaya, lebih 28,000 kes pampasan membabitkan pertuduhan dari 2013 hingga Oktober 2018 dijalankan di mahkamah seluruh negeri.