Pengendali teksi gesa tapak pemandu e-hailing ditutup segera

Shamsubahrin Ismail. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digesa menutup semua tapak disediakan kepada pemandu perkhidmatan e-hailing serta-merta.

Pengasas Big Blue Taxi Services Datuk Shamsubahrin Ismail berkata tindakan itu perlu kerana selaras dengan penguatkuasaan yang telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

JPJ, katanya, melarang pemandu kenderaan e-hailing menunggu atau mencari penumpang di mana-mana di kawasan lapangan terbang.

“Bermakna pengurusan lapangan terbang tidak lagi dibenarkan menyediakan tapak untuk semua pemandu e-hailing.

“Disebabkan itu, tempat-tempat tersebut harus ditutup serta-merta.

“Jika MAHB tidak menutup tapak-tapak ini, makin ramai pemandu e-hailing yang akan dikenakan tindakan kerana undang-undang ini telah diuar-uarkan oleh JPJ,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

JPJ, dalam kenyataannya sebelum ini menetapkan, setiap pemandu kenderaan e-hailing atau Grab dilarang menunggu atau mencari penumpang di mana-mana tempat, termasuk lapangan terbang.

Ia termaktub di bawah syarat-syarat lesen pengendalian e-hailing yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

JPJ berkata e-hailing dikehendaki mematuhi salah satu daripada syarat perkhidmatan e-hailing iaitu pemandu hendaklah mengambil penumpang yang dilanggan melalui perkhidmatan atas talian mudah alih atau aplikasi yang disediakan oleh syarikat pengendali sahaja.

Shamsubahrin berkata bermula hari ini, pihaknya akan melakukan pemerhatian di setiap lapangan terbang seluruh negara bagi memastikan tapak-tapak e-hailing terbabit ditutup.

Katanya, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Kementerian Pengangkutan setiap minggu sehingga Julai ini bagi memastikan tiada lagi tapak menunggu bagi pemandu e-hailing.

“Saya dan pemandu-pemandu teksi dari seluruh Malaysia akan mengambil gambar dan video tapak-tapak yang disediakan untuk pemandu e-hailing di mana-mana lapangan terbang.

“Selagi mereka tidak menutup tapak-tapak tersebut saya akan terus bersuara,” katanya.

Sebelum ini timbul satu hantaran di Facebook berhubung dakwaan pemandu Grab disaman JPJ di bawah kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Moto kerana mengambil pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang Selasa lalu.

Bulan lalu, sekumpulan pemandu limosin mengadakan tunjuk perasaan di lapangan berkenaan, mendakwa pencerobohan kawasan oleh pemandu-pemandu e-hailing menjejas periuk nasi mereka.