PRK Cameron Highlands: Mahkamah benar Sivarraajh cabar keputusan SPR larang bertanding

Sivarraajh turut memohon deklarasi bahawa keputusan SPR adalah tidak sah dan bersifat penindasan terhadap beliau. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C Sivarraajh memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan ini.

Peguam A. Vasanthi yang mewakili Sivarraajh berkata, Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu di dalam kamarnya, dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy bertindak bagi pihak SPR yang dinamakan sebagai responden.

Vasanthi berkata, mahkamah menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Narkunavathy berkata, mahkamah menolak bantahan yang dikemukakan SPR terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman tersebut atas alasan kes itu perlu didengar kerana terdapat isu yang boleh diputuskan.

Narkunavathy berkata, pihaknya mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu atas alasan permohonan tersebut bersifat pramatang.

Sivarraajh, 43, yang juga naib presiden MIC, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 31 Dis lepas bagi memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan SPR bahawa pemohon tidak boleh bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya untuk tempoh masa 5 tahun dari 13 Dis 2018.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa laporan hakim Mahkamah Pilihan Raya bertarikh 13 Dis 2018 kepada SPR adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 37 (1)(a)(i) dan (ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pemohon juga memohon deklarasi bahawa keputusan SPR itu adalah tidak sah dan bersifat penindasan terhadap pemohon selain menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas.

Pada 28 Dis lepas, SPR mengesahkan Sivarraajh tidak layak bertanding dalam PKR Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Jan ini selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov tahun lepas mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu memutuskan amalan rasuah terbukti dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Sivarraajh dalam pilihan raya itu, iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.

Hari penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands ditetapkan pada 12 Jan, manakala hari mengundi awal pada 22 Jan.