Kementerian syor Forest City turunkan kuota hartanah 70% warga asing

Sumber KPKT berkata kuota terlalu tinggi akan menyebabkan Forest City tidak inklusif. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesyorkan Forest City menurunkan kuota hartanah 70% kepada warga asing di kawasan berkenaan.

Sumber KPKT berkata, kementerian berpendapat pemberian kuota sebanyak itu dalam jangka masa panjang tidak sihat untuk projek dan suasana pemasaran hartanah di kawasan tersebut.

“Ia akan menimbulkan banyak masalah sosial. Projek ini juga tidak akan inklusif, maknanya ada golongan yang disisih atau tersisih kerana terlalu sedikit orang tempatan (di Forest City).

“Kita tidak mahu ada 2 komuniti yang dibahagi-bahagikan secara kuota yang jauh bezanya,” katanya kepada FMT hari ini.

Pada September tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin dilaporkan berkata KPKT akan mengkaji semula kuota hartanah 70% kepada warga asing di Forest City, Johor agar rakyat lebih berpeluang memiliki unit rumah mewah di situ.

Sumber berkata, cadangan tersebut dibuat semasa mesyuarat antara pihak kementerian, kerajaan negeri dengan Forest City akhir tahun lalu.

“Mereka (Forest City) kata mereka sanggup kaji balik. Kita harap mereka mengambil langkah sepatutnya.

“Tapi nasib baik juga keadaan ekonomi di China lembap dan kerajaan dia sendiri mula menahan aliran pelaburan asing ke negara lain, termasuk Malaysia,” jelasnya.

Menurutnya, kementerian tidak membuat cadangan kadar kuota yang patut ditetapkan oleh Forest City sebab kementerian tiada hak melakukan demikian.

Tetapi, kata sumber, kementerian merasakan kurang elok pembangunan Forest City didominasi orang luar.