Kereta nasional: Dana dari pelbagai geran, untuk R&D prototaip, kata menteri

CYBERJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hari ini tampil menafikan laporan semalam mengenai dana hampir RM20 juta yang diluluskan untuk projek kereta nasional ke-3.

Beliau menjelaskan dana tersebut diluluskan kerajaan dan daripada geran-geran sedia ada daripada kementerian-kementerian.

Beliau menjelaskan dana hampir RM20 juta itu bukan untuk membuat prototaip, tetapi untuk membantu pelabur swasta yang mempunyai dana sendiri untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) prototaip kereta nasional ke-3.

“Kita guna dana sedia ada untuk kaji selidik dan wujudkan prototaip. Kita lihat geran yang sedia ada daripada kementerian-kementerian jika dikumpul ada dalam lingkungan RM20 juta.

“Bukan makna RM20 juta untuk buat prototaip. Prototaip yang sedang dibangunkan kurang daripada jumlah itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pra pelancaran Malaysia Halal Expo 2019.

Semalam, media melaporkan Kementerian Pembangunan Usahawan meluluskan dana hampir RM20 juta untuk menarik minat pelabur swasta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ke-3.

Laporan itu mengundang reaksi daripada beberapa ahli politik termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Khairy membangunkan kenyataan Redzuan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang sebelum ini berkata kerajaan tidak ada sebarang keputusan untuk membuat pelaburan dalam projek itu.

Penjelasan Redzuan hari ini konsisten dengan kenyataan Lim, iaitu kerajaan tidak mempunyai masalah menyalurkan peruntukan untuk R&D.

Sementara itu, Redzuan sedar ramai yang mempersoalkan rancangan kereta nasional ke-3 itu, dan meminta semua pihak supaya memahami isi yang tersirat dalam rancangan itu.

“Kita nak wujudkan industri nasional sebagai pemangkin kepada usahawan komponen automotif dan juga pemangkin kepada usahawan terlibat dalam bidang robotik, perisian, aeroangkasa dan lain lagi,” katanya.