SPRM tahan ‘Datuk’ dalam siasatan ke atas Tourism Malaysia

PETALING JAYA: Seorang individu bergelar “Datuk” ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan ke atas Tourism Malaysia, kata sumber.

Individu tersebut, dipercayai seorang bekas pemegang jawatan tinggi di agensi itu, ditahan hari ini, kata sumber itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM malam tadi mengumumkan ia akan membuat permohonan reman terhadap seorang bekas pengerusi agensi kerajaan dan seorang ketua pegawai eksekutif di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Siasatan dibuat bawah Seksyen 23 Akta SPRM, iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Pada Jun 2018, SPRM muncul di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dipercayai ada kaitan dengan kontrak ditandatangani Tourism Malaysia dengan sebuah syarikat.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkata beberapa pegawai SPRM ke kementerian itu di Putrajaya untuk “bertanya” susulan beberapa laporan media.

Belum dipastikan adakah penahanan hari ini berkaitan dengan “pertanyaan” itu.