TNB gantung tugas kakitangan didakwa hina institusi raja

KUALA LUMPUR: Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja digantung tugas serta-merta.

TNB dalam kenyataan malam tadi berkata tindakan diambil selepas siasatan dalaman dijalankan.

“Sebagai syarikat yang mengutamakan nilai-nilai murni dan integriti tinggi, kami tidak berkompromi terhadap mana-mana kakitangan kami yang membuat kenyataan sebegini,” menurut kenyataan itu.

TNB juga menegaskan, kenyataan yang dibuat oleh kakitangan berkenaan di akaun media sosial adalah pendapat individu itu sendiri dan bercanggah dengan prinsip TNB.

Kakitangan berkenaan baru-baru ini mengundang kemarahan warga internet apabila dia bersama seorang lagi pemilik akaun didakwa menulis komen berbaur menghina institusi diraja dan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook diselar warga internet berikutan komen jelek terhadap Sultan Muhammad V di media sosial yang tular, menyebabkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno membuat laporan polis dan mendesak polis bertindak tegas kepada pemilik akaun itu.

Individu itu menarik balik kenyataanya dan membuat permohonan maaf dalam akaun laman sosial.