Umno kecam spekulasi tak sahih sekitar pemilihan Agong

PETALING JAYA: Umno mengecam spekulasi tak sahih sekitar pemilihan Agong ke-16, mengatakan pemilihan ketua negara baru tidak patut dicemari khabar angin.

Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemilihan Agong adalah bidang kuasa eksklusif Majlis Raja-raja dan meminta semua pihak menghormatinya.

“Ia tidak seharusnya dicemarkan dengan sebarang spekulasi, khabar angin yang tidak sahih, atau dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab atau apa-apa sahaja tindakan yang tidak santun,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata parti Melayu itu mengecam keras sebarang cubaan untuk “menangguk di air keruh” dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan Majlis Raja-raja.

“Selaku warga negara yang menjunjung Rukun Negara, marilah kita semua bersama-sama menghormati kedaulatan institusi ini dengan taat dan setia,” katanya.

Terdahulu, sumber memberitahu FMT bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertemu Sultan Johor pada Khamis. Sumber bagaimanapun enggan mendedahkan agenda pertemuan itu.

Ia selepas Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Agong baru dalam kalangan raja-raja Melayu, selepas Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletak jawatan pada Ahad.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata ketua negara baharu akan diketahui pada 24 Januari.