JPJ: Pemandu e-hailing boleh tunggu di tapak khas lapangan terbang

(Gambar Fail)

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini tampil menjawab pertanyaan pemandu e-hailing, mengatakan mereka masih boleh menunggu di tapak-tapak khas yang disediakan lapangan terbang.

Ketua Pengarah Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pemandu e-hailing hanya tidak dibenarkan menunggu di lapangan terbang.

Shaharuddin menjawab Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing Malaysia (Mehda) yang meminta JPJ menjelaskan arahan larangan menunggu di lapangan terbang dalam kenyataan baru-baru ini.

“JPJ tidak ambil tahu kalau tunggu di tapak khas, tapi jangan tunggu di lapangan terbang,” katanya kepada FMT.

Semalam, Presiden Mehda, Daryl Chong berkata arahan larangan menunggu JPJ mengelirukan kerana ia bercanggah dengan garis panduan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan bertentangan dengan modus operandi perkhidmatan e-hailing di lapangan terbang.

Beliau menjelaskan pemandu e-hailing menunggu giliran mengambil pelanggan di tapak yang disediakan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

“JPJ tidak menyatakan maksud sebenar ‘menunggu’. Jadi bila JPJ cakap begitu, orang akan ambil kesempatan dan suruh tutup tapak menunggu itu,” kata Daryl.

Sementara itu, Shaharuddin berkata pemandu e-hailing boleh menunggu di tapak menunggu terbuka lapangan terbang walaupun pihak pengurusan menanggalkan papan tanda e-hailing.

Beliau menjelaskan arahan larangan menunggu JPJ itu bertujuan mengelakkan pemandu e-hailing, yang mengambil pelanggan melalui perkhidmatan dalam talian, menjadi teksi haram.

“Peraturan untuk e-hailing memang tidak dibenarkan menunggu, dikhuatiri akan jadi tawar-menawar pula,” tambahnya.

“Bukan di lapangan terbang sahaja, tapi di mana ada usaha mencari penumpang tidak boleh. E-hailing ialah perniagaan atas talian.”

Semalam, MAHB berkata papan tanda e-hailing di kawasan menunggu bersebelahan tempat letak kereta jangka panjang (LTCP) ditanggalkan, selepas menyedari peraturan baru kerajaan mengenai perkhidmatan e-hailing.

MAHB berkata kemudahan itu disediakan untuk menangani isu menunggu di tepi jalan yang tidak dibenarkan undang-undang.

“Sejak itu, kejadian meletak kenderaan di kawasan yang dilarang semakin berkurangan, sekali gus menambah baik keselamatan jalan raya di lapangan terbang itu,” katanya.

MAHB berkata penanggalan papan tanda e-hailing bermakna kawasan menunggu itu terbuka untuk semua pengguna.