Pembantu Kit Siang kritik polis guna Akta Hasutan tahan 3 individu

Ketua polis negara hari ini berkata, Eric Liew Chee Ling, Azham Akhtar Abdullah dan Nur Alia Astaman ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan semalam kerana disyaki membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V.

PETALING JAYA: Setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan mengkritik penggunaan Akta Hasutan untuk menahan 3 individu yang didakwa membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V, susulan keputusan Sultan Kelantan itu melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Beliau dalam satu kenyataan bersama Ketua Pemuda DAP Subang, Farhan Haziq Mohamed hari ini menggesa polis segera melepaskan 3 individu itu kerana penggunaan Akta Hasutan bertentangan dasar kerajaan persekutuan.

Pada 2 Disember lalu, Putrajaya menarik balik moratorium ke atas beberapa undang-undang, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Hasutan yang dalam kajian pemansuhan, supaya polis boleh menggunakan akta itu untuk menangani jenayah.

“Akta Hasutan adalah akta peninggalan penjajah yang zalim dan menekan, serta merupakan suatu sekatan tidak munasabah dan tidak berkadar ke atas kebebasan asasi yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan (PH) di dalam manifesto juga telah berjanji menghapuskan akta tersebut di dalam Janji 27,” katanya sambil menggesa kerajaan mempercepatkan usaha memansuhkan Akta Hasutan seperti dijanjikan PH dalam pilihan raya umum lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, Eric Liew Chee Ling, Azham Akhtar Abdullah dan Nur Alia Astaman ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan semalam, susulan laporan yang diterima pihaknya.

Sultan Muhammad V meletak jawatan Ahad lalu dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, ketua negara baru akan diketahui 24 Januari nanti.

Syahredzan dan Farhan berkata, mereka tidak nampak keperluan menahan 3 individu itu melebihi 24 jam dan di bawah Akta Hasutan, walaupun kenyataan mereka bertiga menjelikkan serta tidak dapat diterima masyarakat.

Justeru, 2 peguam itu mencadangkan polis menggunakan akta lain menahan individu terbabit kerana Kabinet hanya membenarkan polis menggunakan Akta Hasutan bagi kes luar biasa membabitkan keselamatan dalam negeri, ketenteraman awam dan hubungan antara kaum.

“Kami tidak melihat ekspresi-ekspresi 3 individu tersebut tergolong dalam kategori yang disebutkan itu, walaupun ekspresi tersebut wajar dikecam.

“Kami menegaskan di sini bahawa kami mengecam kenyataan individu-individu yang mengeluarkan ekspresi dianggap menghina terhadap Sultan Muhammad V. Kami menyeru rakyat Malaysia menghormati sistem raja berperlembagaan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.”