Pengerusi NGO ditahan SPRM buat tuntutan palsu setengah juta

Lelaki itu membuat tuntutan palsu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Setiu bagi perbelanjaan 32 program di DUN Permaisuri yang dipercayai tidak dilaksanakan.

KUALA TERENGGANU: Seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan belia direman 7 hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengeluarkan tuntutan palsu berjumlah RM500,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim bermula hari ini sehingga Selasa depan.

Lelaki berusia 38 tahun itu disiasat susulan terdapat aduan tuntutan palsu sekitar Mei tahun lalu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Setiu bagi perbelanjaan 32 program yang dijalankan di sekitar kawasan DUN Permaisuri yang dipercayai tidak dilaksanakan.

Suspek ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Terengganu ketika hadir memberi keterangan pada pukul 5.30 petang, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.