Subahat dapat tender: Anak pengarah jabatan kerajaan direman 6 hari

Semalam, bapa eksekutif agensi kerajaan itu direman selama 6 hari bagi membantu siasatan kerana bersuhabat dalam pemberian tender.

GEORGE TOWN: Anak seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan hari ini direman selama 6 hari bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat dengan bapanya dengan mencadangkan syarikat miliknya untuk diberikan tender bernilai RM45,472.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret George Town Muna Maria Azmi selepas mendengar permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap lelaki berumur 27 tahun yang kini adalah eksekutif di sebuah agensi kerajaan negeri Perak.

Lelaki itu, yang juga pemilik sebuah syarikat, disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Eksekutif berkenaan ditahan di pejabatnya di Perak pada pukul 10.30 pagi, semalam selepas disyaki mencadangkan sendiri syarikat milik beliau untuk diberikan tender bagi satu projek sistem kelas tabika kepada jawatankuasa penilaian sebutharga untuk projek berkenaan.

Semalam, bapa lelaki itu yang berusia 58 tahun direman selama 6 hari bagi membantu siasatan berhubung aduan terhadapnya kerana menggunakan jawatannya untuk membolehkan syarikat milik anaknya memperoleh tender berkenaan.