Ahli ekonomi hurai masalah kos sara hidup walaupun inflasi rendah

Inflasi harga makanan membimbangkan kerana majoriti kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli barang perlu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Inflasi di Malaysia, yang pada tahun lepas berada pada paras 1%, tidak menyebabkan penurunan kos sara hidup yang terus meningkat.

Prof Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, hal itu disebabkan oleh beberapa perkara.

Pakar ekonomi Yeah Kim Leng.

“Jika anda mengambil contoh ikan, terdapat beberapa pemboleh ubah yang menentukan harganya.

“Memandangkan bahan api adalah sebahagian daripada kos pengangkutan, yang akhirnya akan menjadi lebih rendah, kekurangan ikan dan kekuatan permintaan akan memastikan harga tetap tinggi,” katanya kepada FMT.

Yeah berkata, paras gaji yang berpanjangan ditekan menjadi faktor utama menyebabkan rakyat tidak berupaya menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Malah Bank Dunia mengesahkan perkara ini.

“Bagaimanapun, majikan mengatakan paras gaji rendah kerana produktiviti pekerja rendah,” katanya.

Ditanya apakah yang boleh rakyat lakukan untuk meringankan kos yang semakin meningkat, Yeah berkata rakyat perlu membuat beberapa pilihan gaya hidup.

Beliau menasihatkan rakyat contohnya beralih daripada ikan kepada sumber protein yang lebih murah, seperti ayam.

Walaupun inflasi kekal di paras serendah 1% pada 2018, harga barangan masih tinggi, yang Yeah anggap kerana ketiadaan banyak barangan dalam senarai yang menjadi ukuran Indeks Harga Pengguna (CPI).

Beliau akui inflasi makanan di paras membimbangkan kerana majoriti kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli barang perlu.

“Kita perlu mencontohi ekonomi maju menguruskan amalan pertanian mereka, yang berjaya mengurangkan kos makanan.

“Sebab utama adalah tahap produktiviti mereka yang tinggi,” katanya.

Ditanya apakah yang boleh dilakukan sektor pertanian untuk meningkatkan output, yang akhirnya akan membawa kepada harga lebih rendah bagi pengguna, Yeah berkata, sektor itu perlu mencari amalan terbaik dan perkaedahan yang paling kos efektif untuk pengeluaran mereka.

Beliau berkata, pengeluaran makanan di Malaysia masih belum mampu diri, dan pengimportan barangan makanan, yang tertakluk kepada turun naik mata wang juga menyebabkan kos sara hidup meningkat.

“Bil import makanan meningkat sekiranya ringgit semakin lemah,” katanya.

Yeah berkata reformasi institusi yang sedang dilakukan kerajaan, seperti melawan rasuah dan meningkatkan ketelusan, akan membantu meringankan kos sara hidup.

Bagaimanapun reformasi seperti itu mengambil masa, katanya.