Birokrasi perlahankan pertumbuhan ekonomi negara, kata Redzuan

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof tidak berpuas hati dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekadar paras 1%-2%, mengatakan birokrasi di perkhidmatan awam memperlahankan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata budaya dalam birokrasi mesti diperhalusi, dibetulkan dan dibanteras, melalui proses yang melibatkan sumber manusia dan mesin, kerana ada pihak menggunakan birokrasi dalam perkhidmatan awam itu untuk mengambil kesempatan.

“Salahguna dan amalan rasuah perlahankan pertumbuhan. Kerajaan sekarang sedang mempromosikan tadbir urus yang baik dan mahu merangsang sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada KDNK kepada 41% menjelang 2020.

“Saya percaya ia boleh dicapai melalui pendigitalan ekonomi,” katanya di satu majlis di Hotel Grand Hyatt hari ini.

Redzuan berharap lebih banyak pemain industri ke depan dengan program jangka masa panjang yang boleh memberi manfaat kepada pendigitalan PKS, dan bukan hanya pengkomputeran.

Menyorot perhatian kepada Jepun, Redzuan berkata negara matahari terbit itu diketahui efisien dan teratur.

“1 minit 29 saat untuk menghasilkan sebuah kereta dan mereka sangat gembira dapat mengurangkan masa pengeluaran kepada 1 minit 27 saat,” katanya.