Sekolah asrama penuh dan mitos meritokrasi anak orang kaya

Confucius pernah menyebut “The essence of knowledge is having it, to apply it; not having it to confess your ignorance.”

Sudah berapa lama kita hidup dalam mitos kecerdikan itu atas usaha jenuh dan titik peluh kita sendiri? Sudah berapa lama pula kita hidup dalam kepercayaan bahawa mereka yang gagal ialah mereka yang sememangnya malas dan tidak berusaha seperti kita?

Seperti mana kita dijajah mitos Melayu malas, seperti itulah juga kita dijajah dengan mitos kecerdikan ialah hasil kita berjaya mengalahkan orang lain.

Dan akhirnya, kita semua kembali terperangkap sekali lagi di dalam sistem persaingan yang tiada kesudahan.

Apabila saya membaca sentimen, reaksi dan maklum balas orang ramai terhadap inisiatif terbaru Kementerian Pendidikan untuk mengembalikan semula aspirasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan memperuntukkan 60% daripadanya untuk golongan B40, saya tahu perjalanan mendidik ini sangat berliku.

Memang nampak jelas di media sosial protes dan ketidakpuasan hati golongan M40 terhadap usaha yang dilakukan. Mereka secara umum mempersoalkan keadilan dan kewajarannya.

Sebagai seorang guru, saya faham. Kita memang mahu melihat anak-anak kita berjaya, cerdik dan sentiasa mendapat yang terbaik.

Kita memang mahu anak-anak kita masuk SBP kerana kita tahu, di situ anak-anak kita akan mendapat peluang yang lebih.

Cuma sekali lagi, kita hanya melihat anak kita sebagai “anak kita”. Kita terlupa untuk melihat anak orang lain, sebagai anak kita.

Di manakah B40?

Malang sekali, mereka yang menyokong inisiatif ini agak kurang. Rata-rata di media sosial semuanya mempertikaikannya. Kata mereka, asasnya mudah – keadilan.

Tidak kiralah berapa pun gaji ibu dan bapa mereka, kecerdikan mereka perlu dinilai dan dihargai secara objektif. Yang saya faham di sini mudah juga, seolah-olah mereka mahu berkata, pandai itu pandai, bodoh itu bodoh. Kaya miskin bukan isunya.

Saya tertanya juga, di manakah golongan B40? Tidakkah mereka sepatutnya muncul dan bergembira dengan inisiatif ini? Tidakkah mereka sepatutnya menjawab dan menjelaskan pertimbangan asas keputusan ini diambil?

Sekali lagi, saya terpaksa menyorot kembali realiti golongan B40, iaitu 40% daripada populasi rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Jawapannya mudah, mereka tiada di media sosial. Ketika kita semua sibuk menulis komen mempertikaikan keputusan kementerian, mereka sibuk di kebun dan sawah memikirkan bagaimana mahu membayar yuran sekolah tahun depan.

Ketika kita semua sibuk mencari guru tuisyen buat anak-anak kita untuk peperiksaan tahun depan, mereka sibuk mencari wang tambahan untuk memastikan dapat membeli baju sekolah anak-anak. Usahkan mahu fikir tentang tuisyen, buku latihan tambahan pun belum tentu mereka mampu.

Realiti golongan B40 ini mudah, mereka bekerja siang dan malam untuk memastikan segala keperluan dapat dipenuhi.

Sebagai guru, saya boleh memberi jaminan orang miskin itu wujud, orang yang tidak mampu membayar yuran sekolah itu wujud, ibu bapa yang tidak mampu memberikan wang waktu rehat itu wujud, anak-anak yang tidak mempunyai buku latihan tambahan kerana tidak berduit itu wujud, anak-anak yang hanya mempunyai sepasang seragam sekolah itu wujud.

Dan sebagai guru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan anak-anak marginal, anak-anak yatim, anak-anak terpinggir, anak-anak tanpa dokumen, anak-anak kepada 107,509 nelayan, anak-anak kepada 194,571 penoreh getah dan anak-anak kepada 9.4 juta petani; mereka semua termasuk dalam golongan B40.

Mitos meritokrasi orang kaya

Apabila ada yang berpendapat keputusan memperuntukkan 60% SBP kepada golongan B40 tidak adil dan sebetulnya pemilihan kemasukan ke SBP mesti berdasarkan merit, kita ada banyak soalan yang perlu ditanya semula.

Ya, memang merit perlu diutamakan, tetapi bagaimana merit diukur? Sudah tentu dengan keputusan peperiksaan. Tetapi bagaimana pula keputusan peperiksaan diukur?

Samakah keputusan peperiksaan murid yang tuisyen siang malam membuat latih tubi dengan keputusan murid yang langsung tidak berduit dihantar ke kelas tuisyen?

Samakah keputusan peperiksaan murid yang mempunyai puluhan buku latihan dengan murid yang cuma bergantung kepada bahan diberi sekolah?

Samakah keputusan peperiksaan murid yang pergi ke bengkel-bengkel menjawab soalan beryuran ratusan ringgit dengan murid yang memang tidak berpeluang ke sana langsung?

Jadi, sebelum kita bercakap tentang merit, kita perlu bercakap soal hak dan kesamarataan terlebih dahulu. Persoalannya, sanggupkah kita turun ke bawah dan bercakap tentang hak dan kesamarataan peluang dengan orang miskin?

Pendidikan ialah soal mengembalikan hak kepada mereka yang memerlukan. Pendidikan ialah soal merapatkan jurang antara golongan miskin dan berada. SBP bukan sekolah elit dan inisiatif ini ialah buktinya.

Cikgu Sani ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.