Umno beri bayangan calon Cameron Highlands pilihannya

KUALA LUMPUR: Umno memberi bayangan pilihan parti itu akan dipertaruhkan di Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya kecil (PRK) 26 Januari ini.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, calon yang dipilih sebulat suara setiap komponen Barisan Nasional (BN) diyakini boleh menguatkan gabungan itu dan berpotensi untuk menang.

“Perlu diingat, keadaan sudah berubah, dulu parti yang membawa calon sebab nama parti ada, letak siapa pun boleh menang, tapi sekarang parti dalam keadaan tidak berapa baik.

“Sebab itu calon untuk PRK Cameron Highland dipercayai boleh memandu parti. Dulu parti dapat kelebihan, sekarang parti dapat kelebihan daripada calon yang sesuai untuk ditempatkan disitu,” katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn malam tadi.

Barisan Nasional akan mengumumkan calon mereka secara rasmi esok.

Pada PRU lalu, pemimpin MIC, Datuk C Sivarraajh menang dalam pertembungan 5 penjuru, menewaskan pencabar terdekat, M Manogaran dari DAP dengan perbezaan 600 undi.

Mahkamah Pilihan Raya pada November membatalkan keputusan itu selepas mendapati berlakunya rasuah dan mengarahkan pilihan raya kecil diadakan.

Pakatan Harapan menamakan semula Manogaran sebagai calonnya.

Selain DAP, BN juga akan ditentang Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas yang mengumumkan akan bertanding.

Untuk rekod, MIC bertanding di kerusi Cameron Highlands sejak 2004.

Khabar angin mengatakan BN bakal menamakan, Ramli Mohd Noor, seorang bekas penolong pesuruhjaya polis berketurunan Orang Asli dari suku Semai.

Ramli adalah anak tempatan dan suku Semai membentuk 22% daripada pengundi Cameron Highlands.

Mohamad berkata, pilihan raya kali ini penanda aras masa depan BN.

“PRK ini amat penting, menjadi penanda aras, sejauh mana keberkesanan kita dan sejauh mana BN dalam hati rakyat, kerusi yang perlu kita pertahankan,” katanya.