Selepas meneman anak pergi balik sekolah, lihat gelagat kanak-kanak ketika ibu bapa meninggalkan bilik darjah, mendengar cerita anak sebaik pulang belajar dan membantu menyiapkan kerja rumah, pasti berat hati ibu untuk masuk kerja semula.

Mungkin ada yang sudah berbisik pada suami niat untuk hantar surat perletakan jawatan dan duduk rumah jaga anak.

Apatah lagi bagi mereka yang memiliki lebih seorang anak, daripada menghantar anak ke rumah pengasuh dengan kos upah yang boleh mencecah ribuan ringgit, baik duduk rumah dan jaga sendiri. Bukankah itu yang anda fikirkan?

Minta maaflah, kerana ia bukan satau keputusan yang bijak!

Ketepikan isu kewangan atau ekonomi keluarga, keputusan berhenti kerja itu sendiri tidak baik untuk kesihatan si ibu, mental mahupun fizikal.

Menurut satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) pada 2012, ibu yang duduk di rumah mengalami lebih banyak tekanan dan siri kebimbangan berbanding mereka yang bekerja.

Ini kerana para ibu yang mahu berbuat terbaik dengan ‘duduk di rumah’ mungkin terperangkap dengan satu peranan. Kalau berlaku kesilapan anda tiada saluran ‘escape’ yang lain.

Dah, jangan ikut emosi sangat, selagi ada dan boleh kerja, buat sahaja!

FMT Ohsem senaraikan beberapa sebab mengapa anda perlu lupakan niat hantar ‘resign letter’:

1. Anak akan ‘okay’

Janganlah emosi sangat tinggalkan anak kepada pengasuh atau orang tua di rumah. Mungkin satu dua cara penjagaan mereka tidak kena di hati, tidak mengapa, anda masih punyai banyak masa untuk mengajar anak secara perlahan-lahan.

Kes dera atau masalah hubungan dengan pengasuh adalah kes terpencil. Apapun buat ‘homework’ sebelum pilih pusat asuhan. Luang masa di tempat asuhan supaya anak rasa selesa.

2. Akui realiti ekonomi

Ramai yang sedang berusaha untuk mencari kerja. Ada juga yang diberhentikan kerja dan sebagainya. Anda yang ada kerja tak perlu buat keputusan melulu. Realitinya, ekonomi semasa agak mencabar dan sokongan anda amat diperlukan suami.

Sebagai wanita, anda juga kena bina ‘simpanan’ sendiri dan mempunyai kebebasan berbelanja. Lagipun dalam diam-diam anda akan ada simpanan KWSP dan Socso pada hari tua nanti.

3. Bina bakat
Katakan anda bekerja 5 tahun dengan syarikat pemasaran, anda pasti sudah ada bakat memasarkan barang. Begitu juga dengan bidang penulisan, pengiklanan, reka grafik dan banyak lagi. Apabila anda bekerja, anda akan mendapat banyak peluang untuk meningkatkan ilmu berkaitan kerja. Selepas 5, 10 atau 20 tahun bekerja, ilmu itu mungkin tinggi nilainya, atau sangat berguna untuk anda sendiri.

Wanita, jangan sia-siakan peluang seperti ini. Anda boleh menjadi ‘somebody’ jika bijak menggunakan bakat anda itu.

4. Kerja dari rumah, separuh masa, dibayar ikut jam atau waktu fleksi

Jika anda ‘kena’ juga duduk rumah menjaga anak, atas situasi seperti menjaga anak istimewa, anak terlalu ramai atau keperluan yang tidak dapat dielakkan, mungkin anda kena berbincang dengan pihak majikan.

Cuba dulu, mana tahu nasib menyebelahi anda!

Terangkan secara lisan dan buat surat rasmi menyatakan sebab membuat permintaan itu. Cuba temui satu titik persefahaman yang membawa situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

5. Kesan psikologi

Apabila ke kerja, anda mesti melawa bukan? Sekali-sekala keluar dengan rakan pejabat, sertai aktiviti sukan atau pembangunan pasukan, makan malam, sertai bengkel atau seminar dan banyak lagi. Anda juga pasti membeli-belah untuk semua itu, ke salun kecantikan menjaga rambut dan buat facial. Beli bahan kosmetik, kasut, beg tangan yang berpadanan dan lain-lain.

Tahukah anda, semua ini mungkin tidak dapat dilakukan jika anda berhenti kerja. Semua yang disebut di atas adalah salah satu kegembiraan yang memberi anda mood positif dan alternatif lain daripada drama keluarga harian. Bagi mereka yang sudah biasa bekerja, duduk rumah pasti akan menyebabkan anda tertekan.

Pandai-pandailah ambil keputusan berhubung ‘menjadi suri rumah, menjaga anak’. Kerana waktu mencabar seperti ini, memang sukar mendapat kerja.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]