Muhyiddin nafi KDN diam kes kematian Beng Hock

PETALING JAYA: Tuduhan pemimpin DAP Ramkarpal Singh bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal mengarahkan polis membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan siasatan Julai lalu tidak benar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri dalam negeri berkata: “Kenyataan saya bahawa polis sedang menunggu arahan daripada peguam negara seperti dilaporkan media pada 25 Oktober 2018 adalah merujuk kepada arahan lanjut daripada peguam negara berhubung kertas siasatan diserahkan pasukan petugas khas.

“Peguam negara sudah memberikan arahan tertentu kepada pasukan petugas khas pada 17 Disember 2018 dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin menjelaskan, susulan daripada arahannya dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 17 Julai 2018, polis menubuhkan pasukan petugas khas diketuai DCP Datuk K Manoharan untuk menyiasat semula kes ini.

“Dalam mesyuarat pasca Kabinet KDN pada 27 Jun 2018, saya memaklumkan Kabinet sudah memutuskan kes kematian Teoh Beng Hock dibuka semula dan mengarahkan ketua polis negara mengambil tindakan segera berhubung keputusan tersebut.

“Pasukan petugas khas ini sudah menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut pada 18 Oktober 2018,” katanya.

Ramkarpal menuduh Muhyiddin dan KDN berdiam diri walaupun dimaklumkan Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis membuka semula kes berkenaan Julai lalu.

“Kenapa Muhyiddin tidak mengarahkan KPN membuka semula siasatan ke atas kematian Teoh di sebalik fakta bahawa Mahkamah Rayuan sendiri menemui bukti salah laku berhubung kematian Teoh. Bahkan peguam negara sendiri berpendapat bahawa siasatan ke atas kematiannya sepatutnya dibuka semula.

“Kegagalan KDN mengarahkan ketua polis negara untuk bertindak serta-merta menimbulkan kecurigaan yang serius mengenai kemungkinan ada cubaan menutup kes kematian Teoh,” kata Ramkarpal.

Teoh, bekas pembantu politik kepada ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada tahun 2009 selepas jatuh dari tingkat 9, bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di Shah Alam, Selangor, ketika menjalani siasatan.