Kementah tak sorok jika terbukti BN beli aset mencurigakan

Mohamad Sabu (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara UiTM dan Yayasan LTAT, bagi projek endowment pembangunan residensi untuk UiTM Puncak Alam, di UiTM Shah Alam.

SHAH ALAM: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menegaskan pihaknya tidak akan menyembunyikan sebarang isu berkaitan pembelian aset mencurigakan dalam kementerian itu ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mohamad berkata, beliau sedia menjawab sebarang soalan dibangkitkan selepas Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan pada hujung Januari.

“Laporan pada 3 bulan pertama sudah dilaporkan dan kita tunggu laporan ke-2 pada Januari ini. Ambrin dan jawatankuasanya akan memberikan laporan kepada kementerian dan saya dalam masa sebelum akhir Januari ini.

“Jika ia tidak disiapkan, tempohnya akan dilajakkan sedikit, namun tidak jauh. Saya tidak akan sembunyikan apa-apa, sama ada soalan di Parlimen juga saya akan jawab.

“Saya sedia jawab apa-apa soalan,” katanya dalam sidang media, selepas menandatangani perjanjian antara UiTM dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), di UiTM Shah Alam, hari ini.

Mohamad pada Oktober tahun lalu meminta jawatankuasa ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 30 Mei tahun lalu memulakan siasatan di kementeriannya terlebih dahulu.

Hal ini kerana beliau tidak mahu tuduhan yang dilemparkan menjejaskan semangat warga di Kementerian Pertahanan.

“Dengan siasatan ini, pihak kementerian dan kakitangannya sekarang berada dalam semangat tinggi untuk bekerja bagi menjaga keamanan dan mempertahankan keselamatan negara,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Mohamad berjanji akan menyiasat segala dakwaan mengenai skandal dikaitkan dengan kementerian itu. Ini termasuklah isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi serta pembaziran dan dakwaan salah guna kuasa melibatkan pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, Ambrin sewaktu dihubungi FMT menyatakan secara ringkas menyatakan jawatankuasanya masih menyediakan laporan membabitkan kementerian itu.

“Kita jelaskan pada menteri setiap 3 bulan mengenai perkembangan kerja. Seterusnya adalah pada penghujung bulan Januari ini,” katanya.