Anak di sekolah? Awasi 9 penyakit berjangkit ini

Memang seronok melihat anak-anak ke sekolah, itu tandanya mereka membesar dan belajar berdikari. Namun, di sekolah juga anak-anak kecil mudah dijangkiti penyakit memandangkan mereka masih muda dan tidak pandai melindungi diri sendiri.

Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mendidik dan mengawasi anak yang ke sekolah supaya tidak dijangkiti penyakit atau seggera merawat jika mereka membawa pulang sakit.

Ingat, jika anak anda sakit, jangan paksa mereka ke sekolah kerana sakit itu boleh didihapi kanak-kanak lain. Biar sembuh sepenuhnya baru dihantar ke sekolah.

FMT Ohsem berkongsi beberapa penyakit yang sering dijangkiti anak di sekolah.

1. Flu

Virus influenza adalah sangat berbahaya. Kecuaian dalam menjaga anak daripada virus ini boleh menyebabkan kematian. Awasi tanda-tanda yang ditunjukkan oleh anak seperti demam dah suhu badan melepasi 39 darjah Celcius, menggigil, sakit kepala, letih yang teruk dan tiada selera untuk makan.

Pada waktu yang sama mereka akan batuk, sakit tekak, dan dalam sesetengah kes akan muntah dan cirit birit.

Sebagai ibu bapa anda perlu mengajar anak agar membasuh tangan dengan betul dan kerap sebelum makan dan selepas menggunakan tandas. Paling penting ajar mereka untuk tidak berkongsi minuman, sudu dan garpu dengan rakan.

2. Selsema

Virus ini boleh memasuki lapisan hidung dan kerongkong untuk membiak dan berkembang dan mencetuskan tindak balas sistem imun yang menyebabkan sakit tekak, batuk, sakit kepala dan selsema.

Anak anda mungkin juga mengalami hidung tersumbat atau berair dan demam ringan.

Anda perlu memastikan anak anak mendapat tidur yang cukup, makan makanan sihat untuk kekal sihat.

3. Sakit mata

Sakit mata atau mata merah adalah satu bentuk keradangan atau jangkitan mata. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria ataupun virus serta alahan seperti asap, bahan kimia dalam kosmetik dan klorin dalam kolam renang.

Anak akan mengadu mata gatal dan pedih serta sensitiviti kepada cahaya. Sakit mata adalah penyakit yang paling mudah berjangkit iaitu hanya saling menatap mata mereka yang sakit.

Jika anak anda sakit mata, mereka tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah agar pelajar lain tidak dijangkiti.

4. Sakit tekak

Sakit tekak adalah jangkitan umum pada kanak-kanak disebabkan oleh bakteria yang dikenali streptokokus Kumpulan A. Ia boleh merebak melalui udara apabila seseorang itu batuk atau bersin.

Sakit tekak juga boleh disebarkan melalui perkongsian minuman atau makanan dan menyentuh permukaan yang terkena jangkitan.

Anak akan mengadu sakit tekak ketika menelan makanan. Ia juga boleh menyebabkan anak demam, ruam, sakit kepala dan tonsil bengkak.

Ajarlah anak berhati-berhati ketika berkongsi barangan dengan rakan sekelas yang sedang batuk dan selsema.

5. Sakit perut dan cirit birit

Ia adalah masalah radang perut dan usus yang menyebakan muntah-muntah, cirit birit, kekejangan perut dan demam. Ini disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit.

Apabila sakit perut dan cirit birit pastikan mereka minum air secukupnya.

Cara terbaik untuk mengelakkan anak mengalami cirit birit, ajarlah mereka untuk membasuh tangan dan elakkan dekat dengan kawan yang ada masalah ini.

6. Kutu

Kutu rambut mudah berjangkit dalam kalangan kanak-kanak di sekolah. Kutu kepala masalah yang sangat umum, satu dalam 5 kanak-kanak diserang kutu pada satu-satu masa.
Kutu kepala tidak boleh melompat, terbang atau berenang jadi ianya memerlukan sentuhan kepala untuk merayap dari satu kepala kepada yang lain. Itulah sebabnya kanak-kanak berusia 4 tahun hingga 11 tahun, yang selalunya bermain bersama-sama dalam jarak dekat mudah kena kutu.

7. Demam campak

Penyakit demam campak merupakan sejenis jangkitan pernafasan yang disebabkan oleh virus RNA dari keluarga paramyxovirus.

Seseorang itu juga boleh dijangkiti virus berkenaan dengan meletakkan jari anda di dalam mulut atau hidung, selepas menyentuh permukaan yang telah dijangkiti. Begitu juga dengan berkongsi gelas minuman yang sama.

Sebaik virus masuk ke dalam tubuh, ia akan hidup di dalam sel-sel yang melapisi bahagian belakang tekak dan paru-paru. Jangkitan seterusnya akan merebak ke seluruh badan termasuklah sistem pernafasan dan kulit. Oleh kerana sifat campak yang menular terutamanya dari kira-kira 4 hari, pesakit tidak digalakkan terbabit di dalam kegiatan yang memerlukan mereka berinteraksi dengan orang lain dalam tempoh ini.

Pastikan anak-anak mendapat imunisasi campak seperti yang telah ditetapkan bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa anak-anak

8. Kudis buta

Kudis buta ialah keadaan kegatalan pada kulit yang disebabkan oleh gigitan kutu yang bernama Sarcoptes Scabiei. Kudis buta bukanlah tanda-tanda kurangnya penjagaan kebersihan. Bagaimanapun, ia cenderung berlaku di tempat tinggal yang sesak seperti asrama dan rumah asuhan.

Jauhi kanak-kanak yang dijangkiti dari sekolah / tempat asuhan sehingga selesai rawatan. Rawat seluruh ahli keluarga serentak.

9. Cacing

Penyakit yang sangat umum dalam kalangan pelajar sekolah, lazimnya kanak-kanak di bawah 10 tahun ialah serangan cacing. Penyakit ini terjadi kerana cacing atau telur cacing masuk ke dalam organ tubuh melalui makanan atau permukaan yang tercemar misalnya ketika anak bermain di pekarangan sekolah atau jalan sembarangan.

Ada banyak jenis cacing yang menyerang anak, namun yang paling biasa adalah cacing kremi atau Enterobius vermicularis. Untuk mengelakkan anak tidak kena penyakit cacing, ingatkan mereka untuk selalu mencuci tangan setelah bermain di tempat terbuka (tanah) sebelum makan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]