BN ikat peneroka Felda dengan hutang, pinjaman mudah, kata Kit Siang

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata kerajaan Barisan Nasional mengikat peneroka Felda dengan hutang dan pinjaman mudah, menyebabkan mereka hidup bergantung kepada bantuan kerajaan.

Lim berkata kerajaan dulu tidak melatih peneroka cara menguruskan kewangan dengan bijak, menyebabkan mereka menanggung beban pinjaman yang besar dengan jadual pembayaran tidak sekata dan faedah.

Tokoh DAP itu berkata dasar pinjaman mudah disengajakan bagi mengikat peneroka kepada kehidupan berhutang, yang akan diwarisi oleh generasi seterusnya, lalu mewujudkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

“Budaya kebergantungan telah menular di kalangan peneroka Felda sehingga membantutkan pertumbuhan komuniti mereka,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata Pakatan Harapan sebelum ini sukar memasuki penempatan Felda kerana para peneroka risau akan kelangsungan elaun sara hidup mereka jika jentera pembangkang dibenarkan memasuki kampung-kampung mereka.

Oleh itu, beliau mengumumkan kerajaan sekarang akan memasukkan elemen latihan dan pendidikan kewangan dalam bantuan kepada peneroka Felda, “sekali gus membawa mereka keluar daripada kepompong budaya kebergantungan”.

Pada November tahun lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tertanya akan nasib warga Felda bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pendapatan bulanan peneroka selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu hanya RM300 berbanding lebih RM3,000 sebelum ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan Felda akan melancarkan skim baru bagi membantu anak-anak peneroka pada suku pertama tahun ini. Skim tersebut menumpukan kepada aspek pendidikan teknikal dan vokasional.