Kesan kemudaratan penagihan dadah terus meletakkannya sebagai antara ancaman utama negara malah ada pihak yang menyifatkan gejala itu sebagai musuh nombor satu Malaysia.

Sekitar tahun 70an, dadah jenis opiat seperti heroin menjadi buruan penagih namun sejak hujung 90an pengguna dadah mula beralih kepada dadah sintetik yang mengandungi bahan spikoaktif yang tinggi kadar toksidnya.

Banyak usaha dan kajian dilakukan bagi mencari kaedah terbaik mengatasi ketagihan dan kebergantungan mereka yang terperangkap dengan penagihan najis dadah.

Bagi ketagihan heroin, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadikan rawatan metadon sebagai rawatan terbaik untuk pesakit dan ia digunakan secara meluas sejak hampir 14 tahun lalu di seluruh negara.

Kurangkan pesakit baru HIV

Kalau hendak diikutkan, metadon digunakan di beberapa negara di dunia seperti Amerika Syarikat dan Australia sejak 1960an lagi. Malaysia hanya mula melaksanakan rawatan metadon ini pada 2005.

Pada asalnya program metadon bertujuan mengurangkan kemudaratan disebab aktiviti perkongsian jarum yang menyumbang kepada penyakit HIV/AIDS dalam kalangan penagih.

Setelah hampir 14 tahun dilaksanakan program ini menunjukkan banyak kemajuan terutama peratusan jangkitan baharu kes HIV yang pernah mencatat jumlah 66% pada 2005 menurun kepada 3% pada 2017.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, KKM, Dr Fazidah Yuswan memberitahu Bernama, Kajian Malaysian Methadone Treatment Outcome Study (Mytos) pada 2016 menunjukkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan pesakit yang mengambil metadon menurun secara signifikan dari 6.22 sebelum menjalani rawatan kepada 2.65 selepas rawatan.

Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh Centre Of Excellence For Reaserch In AIDS (CERIA) dan World Bank menunjukkan rawatan metadon mengurangkan sebanyak 1,597 jangkitan HIV dalam tempoh 2006-2013.

Dijangkakan sebanyak 38,000 jangkitan HIV baharu akan dapat dielakkan sehingga 2050 dengan rawatan metadon, tambahnya.

Jumlah pesakit dapatkan rawatan

Menurut Dr Fazidah, KKM sebagai penggerak utama rawatan metadon menyediakan perkhidmatan rawatan metadon di 403 buah klinik kesihatan seluruh Malaysia dan 55 buah hospital kerajaan.

“Sekarang klinik kesihatan yang menyediakan rawatan metadon sekitar 45%. KKM sasarkan ia akan meningkat kepada 65% daripada 900 buah klinik kesihatan di seluruh negara menjelang 2030,” katanya.

Selain klinik kesihatan dan hospital, fasiliti kerajaan lain yang menyediakan rawatan metadon adalah pusat rawatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) iaitu sebanyak 24 lokasi dan 22 buah di institusi penjara.

Beliau berkata KKM tidak mempunyai halangan untuk fasiliti kerajaan lain seperti AADK dan penjara memperluaskan perkhidmatan rawatan metadon dan sedia membantu dalam perkara tersebut, katanya.

Sejak 2005 hingga Jun 2018, terdapat seramai 47,556 pesakit berdaftar untuk mendapatkan rawatan metadon di fasiliti kerajaan.

Daripada jumlah itu, 18,000 pesakit masih kekal dalam rawatan hingga Jun 2018, katanya.

Sementara itu untuk pesakit yang mendaftar mendapatkan rawatan metadon di klinik swasta, jumlah pesakit lebih kurang 52,000 dengan 35,000 pesakit masih aktif menerima rawatan.

Dr Fazidah berkata, keseluruhan mereka yang mendaftar di klinik kerajaan dan swasta sejak 2005 hingga 2018 adalah lebih kurang 99,556 pesakit.

“KMM membelanjakan sebanyak RM1.5 juta setahun untuk perolehan ubat metadon. Anggaran kos seorang pesakit bagi tempoh setahun sekitar RM450 dengan kos ubat (metadon) sebanyak RM200 bagi purata dos 80mg.

“Sementara baki kos itu adalah untuk ujian makmal bagi pemantauan rawatan,” katanya sambil menambah kos rawatan metadon di fasiliti KKM adalah percuma.

Paling berkesan

Jelas Dr Fazidah, faktor kos antara sebab metadon digunakan bagi rawatan pemulihan dadah opiat selain boleh memantau setiap pesakit dengan lebih mudah.

Buat masa ini metadon adalah rawatan yang paling berkesan untuk penagih dadah jenis opiat dengan kesan sampingan ke atas pesakit juga sangat rendah, jelasnya.

Metadon perlu diberikan setiap hari di bawah pemantauan doktor, namun terdapat kelonggaran kepada pesakit yang telah stabil untuk membawa pulang bekalan metadon untuk tempoh 3 hari pengambilan.

Ini memudahkan pesakit terutama yang bekerja atau mereka yang ingin keluar kawasan.

“KKM permudahkan untuk pesakit-pesakit ini kerana banyak pesakit yang berubah menjalani kehidupan yang normal setelah menjalankan program metadon ini,” katanya.

Menurut Dr Fazidah dalam rawatan penagihan, tiada istilah sembuh atau pulih kerana mereka perlu rawatan yang berterusan sepertimana pesakit kronik darah tinggi ataupun kencing manis.

Walaupun ada pesakit yang menjalani kehidupan normal tanpa mengambil metadon namun jumlahnya sangat sedikit.

Kemungkinan disebabkan perlu bergantung dengan metadon ada yang menyatakan mereka ketagihan metadon.

“Tidak ada dalam mana-mana kajian yang dilakukan menyatakan metadon menyebabkan ketagihan pesakit kepada metadon sebagaimana tidak ada satu pun tanggapan yang pesakit kencing manis menyebabkan ketagihan kepada ubat kencing manis walaupun mengambilnya setiap hari,” katanya.

Bagaimanapun metadon hanya khusus untuk rawatan ketagihan dadah opiat sahaja dan sehingga kini belum lagi ditemui rawatan khusus untuk mengatasai ketagihan dadah sintetik seperti syabu atau saintifiknya Methamphetamine hydrochloride mahupun ecstacy.

Ini antara cabaran yang dihadapi oleh para penyelidik seluruh dunia dan sekiranya berjaya sudah pasti akan dapat membantu jutaan pesakit seluruh dunia yang berhadapan dengan masalah ketagihan dadah tersebut sepertimana metadon yang membantu penagih keluar daripada ketagihan dadah heroin dan jenis dadah opiat lain.