Harga minyak: Pengusaha stesen di bandar juga terjejas dengan pelarasan harga mingguan

Persatuan pengusaha stesen minyak akan terus mendesak kerajaan menggunakan kaedah pelarasan harga secara bulanan.

PETALING JAYA: Kaedah pelarasan harga minyak mingguan seperti dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan menyebabkan pengedar dan pengusaha stesen minyak di kawasan bandar juga terjejas.

Seorang pengusaha stesen minyak di Bandar Utama, Selangor yang hanya ingin dikenali sebagai Zubaidah berkata, sekiranya permintaan kurang dan stok minyak yang ada tidak seimbang, pengusaha akan mengalami kerugian.

“Jika harga minyak turun mendadak seperti minggu lepas, sememangnya memberi kesan berikutan stok yang ada yang dibeli pada harga lama belum habis.

“Minggu ini harga turun lagi 1 sen jadi ia menyebabkan kerugian. Jika kerajaan dapat mengimbangkan stok minyak yang ada, dapat kurangkan sedikit kerugian,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau mengakui penurunan harga minyak sebanyak 1 sen minggu ini kurang sedikit memberi kesan berbanding minggu lepas.

Pada 4 Januari lalu, Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menjangkakan pengusaha akan kerugian sebanyak RM40 juta ekoran pengumuman kerajaan mengenai harga baru bahan api itu yang berkuatkuasa tengah malam 5 Januari.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengurangan harga bahan api itu sebanyak 14 sen seliter bagi diesel dan 27 sen seliter bagi petrol RON95 dan RON97 akan mengakibatkan kerugian runcit petroleum antara RM30 hingga RM40 juta, berdasarkan stok minyak yang ada.

Minggu lepas Kementerian Kewangan yang mengumumkan perkara itu berkata, harga runcit RON95 dan RON97 turun 27 sen masing-masing daripada RM2.20 dan RM2.50 setiap liter, manakala diesel turun 14 sen daripada RM2.18 seliter.

Pada Jumaat pula, harga runcit petrol RON97 dan RON95 turun satu sen kepada RM2.22 dan RM1.92 seliter, manakala harga diesel naik satu sen kepada RM2.05 seliter hingga 18 Januari.

Zubaidah berkata, jika stok minyak yang ada dapat dikawal secara mingguan, mungkin kerugian yang ditanggung pengusaha stesen minyak dapat dikawal juga.

Seorang lagi pengusaha stesen minyak di Bandar Utama, Selangor yang hanya dikenali sebagai Amir berkata, pelaksanaan kaedah penetapan harga secara mingguan menyebabkan berlaku ketidaktentuan dalam pasaran, terutamanya apabila perniagaan seperti petroleum dan diesel sememangnya berdepan risiko tinggi.

“Pengusaha minyak di bandar pun merungut tidak puas hati. Sekiranya harga pasaran minyak terus menurun pada minggu berikutnya, kita tidak boleh menolak kemungkinan pengusaha akan menyimpan stok minyak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul berkata, PDAM akan terus mendesak kerajaan menggunakan kaedah pelarasan harga minyak secara bulanan.

Beliau berkata, PDAM akan mengadakan lagi pertemuan dengan kerajaan pada bulan ini dan menjangka akan bertemu pula dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita faham, jika trend minyak menurun setiap minggu memang akan menyebabkan pengusaha stesen minyak yang penjualannya rendah mengalami kerugian.

“Misalnya jika sebuah stesen minyak itu jual hanya 4 ribu liter, tetapi dalam tangki ada lagi 30 ribu, memang rugi,” katanya.