Ikut jejak Melaka bantu carum Perkeso pemandu teksi, kata persatuan teksi

Pemandu teksi berdaftar di Melaka dijangka menerima insentif dalam bentuk caruman Perkeso daripada kerajaan negeri.

PETALING JAYA: Gabungan Teksi Se-Malaysia berharap negeri-negeri lain dapat mengikut langkah kerajaan negeri Melaka yang berhasrat membantu membuat caruman Perkeso untuk pemandu teksi berdaftar di negeri itu.

Pengerusinya Kamaruddin Hussain berkata, ia merupakan satu inisiatif yang baik selepas pemandu teksi dilihat tidak mampu untuk mencarum apabila pendapatan harian mereka terlalu rendah ketika ini.

“Saya rasa langkah kerajaan mewajibkan pemandu teksi mencarum Perkeso adalah satu perkara yang zalim. Ia membuat undang-undang memaksa pemandu teksi mencarum, memang baik untuk mencarum, tetapi dalam masa yang sama ia tidak melindungi pendapatan pemandu teksi. Pemandu teksi tidak ada pendapatan, macam mana dia nak mencarum?

“Saya faham ini atas budi bicara kerajaan negeri sendiri dan bukan insentif daripada kerajaan pusat, cuma kalau boleh kerajaan negeri lain juga harus mengikuti jejak dan keprihatinan negeri Melaka,” katanya kepada FMT.

Media baru-baru ini melaporkan pemandu teksi berdaftar di Melaka dijangka menerima insentif dalam bentuk caruman Perkeso daripada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, perkara itu sedang dibincangkan secara terperinci oleh pihak terlibat dan akan dibawa untuk diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

“Hasil beberapa siri pertemuan yang dilakukan bersama kumpulan itu sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negeri, antara usaha membela kebajikan mereka ialah melalui caruman Perkeso.

“Caruman Perkeso ini akan ditanggung kerajaan negeri kerana kita tahu pendapatan pemandu teksi tidak menentu serta mereka terdedah kepada kemalangan. Jadi insentif ini sedikit sebanyak akan meringankan beban kerana mereka akan dapat pencen,” katanya.

Meskipun memuji langkah tersebut, Kamaruddin bagaimanapun menggesa Kementerian Pengangkutan di bawah menterinya Loke Siew Fook lebih mengutamakan isu kebajikan pemandu teksi di negara ini.

Katanya, majoriti daripada pemandu teksi kini hilang punca pendapatan selepas terpaksa bersaing dengan pekhidmatan e-panggilan.

Ujarnya, Loke perlu bertindak dan mencari “idea” baru untuk membantu mereka setelah kehilangan sumber pendapatan yang banyak berbanding sebelum ini.

“Pendapatan pemandu teksi dirompak oleh pemandu kereta sapu e-panggilan.

“Sepatutnya kerajaan ambil inisiatif untuk melindungi kebajikan pemandu teksi dulu, bila mereka sudah ada pendapatan, saya rasa kerajaan juga tidak perlu keluarkan modal untuk tolong carum,” katanya lagi.

Berdasarkan laporan Kementerian Sumber Manusia yang dilihat oleh FMT, hanya 7,774 (7.7%) daripada 100,000 pemandu teksi dan e-panggilan membuat caruman Perkeso sehingga 7 Jan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran sebelum ini berkata, semua pemandu teksi dan e-panggilan dikehendaki mendaftar dan membuat sumbangan kepada Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri pertubuhan itu berkuat kuasa 1 Nov tahun lepas.

Kulasegaran berkata, Perkeso dan Kementerian Pengangkutan telah membincangkan langkah yang akan diambil sekiranya pemandu gagal berbuat demikian.