PH ‘halalkan’ rasuah di Cameron Highlands?

Bahang pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands kian terasa dari hari ke hari. Dapat dilihat sama ada di media sosial mahupun media cetak, rata-rata ceritanya berkisarkan tentang PRK Cameron Highlands yang dijangka akan berlangsung pada 26 Januari 2019 ini.

Namun yang menarik perhatian saya adalah berkenaan isu penularan sekeping gambar seorang wanita memberikan wang tunai kepada beberapa pemuda semasa hari penamaan calon yang lepas.

Selepas tersebarnya gambar ini, rata-rata netizen melahirkan rasa marah dan tertipu dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya sebelum ini bermati-matian mengatakan kerajaan PH tidak pernah membayar apa-apa kepada penyokong mereka tetapi hakikatnya jauh panggang dari api. Jadi gambar yang tular itu apa maknanya?

Tindakan ini secara terang-terang disifatkan sebagai tindakan memberi suapan kepada individu tertentu atau lebih tepat lagi adalah satu amalan rasuah. Hairannya bukankah perangi rasuah adalah modus operandi yang ingin dibanteras oleh kerajaan PH, tetapi sekarang apa sudah jadi?

Persoalannya mana perginya slogan pilihan raya dan kerajaan yang lebih bersih yang dicanang-canang selama ini?

Malah jika kita imbas kembali, punca utama PRK Cameron Highlands ini diadakan kerana keputusan PRU14 di Parlimen Cameron Highland dibatalkan gara-gara terdapat unsur rasuah dan sogokan dari parti Barisan Nasional.

Malangnya, PRK Cameron Highlands yang kononnya diadakan semula ini untuk tujuan pemilihan yang lebih adil tetapi yang jadi sebaliknya pula. Baru sahaja hari kempen berlangsung tetapi sudahpun dicemari dengan amalan rasuah oleh kerajaan PH secara terang-terangan.

Yang kelakarnya ada sesetengah pihak yang berkobar-kobar menegakkan benang yang basah dengan mengatakan pemberian tersebut hanya sekadar duit minyak sahaja dan bukannya rasuah. Tetapi mereka yang dibayar itu adalah orang yang layak mengundi dan secara logiknya apabila mereka sudah dibayar mereka perlu membalas kembali dengan memberi undi kepada kerajaan PH.

Jadi bukankah itu dikira sebagai memancing undi dengan wang?

Jelas semua ini hanya alasan tersirat yang dicipta oleh kerajaan PH untuk menutup perkara yang jelas tersurat tentang pemberian wang secara terang-terangan. Nampaknya memang sudah terkantoi jadi tidak boleh buat apa-apa. Ibarat bangkai kalau sudah berbau memang tidak boleh lagi ditutp dengan sehelai daun pisang.

Peliknya, kenapa bila parti lain buat alasan yang sama iaitu sekadar “duit minyak” tetapi mereka fitnah dan kata itu rasuah, sebaliknya bila mereka yang buat itu semua bukan rasuah pula? Pendek kata, kalau parti lain buat semuanya haram, tetapi kalau kerajaan PH semuanya automatik bertukar menjadi halalan toyyiban serta merta.

Jangan kerana mereka sudah berada di blok kerajaan dan mempunyai kuasa, perkara sebegini hanya dilihat dengan sebelah mata sahaja. Jika memang benar amalan rasuah menjadi budaya dalam kerajaan PH, sepatutnya pihak berwajib perlu menjalankan siasatan sewajarnya.

Malah, sekiranya amalan rasuah ini mencemari PRK Cameron Highlands, pihak berwajib juga perlu bersikap adil dengan melucutkan percalonan PH serta merta agar ia tidak akan menimbulkan masalah pada kemudian hari.

* Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.