Bekas KPN bantah cadangan kerajaan hapuskan hukuman mati

KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara (KPN) Tan Sri Abd Rahim Noor tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati.

Beliau berkata, penghapusan hukuman mati belum tentu dapat kurangkan kadar jenayah.

“Mereka yang melakukan jenayah perlu berani menghadapi hukuman dan akibatnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pembunuh masih melalui proses mahkamah undang-undang dan mengambil masa yang lama untuk membuat rayuan.

“Tetapi apabila mengambil nyawa seseorang, ia dilakukan dalam beberapa saat.

“Saya kini berusia 70 tahun. Saya telah melihat cukup banyak apa berlaku di dunia ini. Saya tidak bersetuju dengan kerajaan,” katanya.

Rang undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata Jabatan Peguam Negara dalam peringkat akhir menyediakan kertas perundangan untuk tujuan berkenaan.

Liew sebelum ini berkata jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dimansuhkan.

Beliau berkata keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lepas turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

please add to story selepas para akhir:

Dalam pada itu, Rahim mengingatkan kerajaan tentang budaya orang Asia, yang mahukan hukuman setimpal bagi kesalahan membunuh.
“Apabila seseorang sanggup mengambil nyawa orang, sama ada ditikam atau dicekik, adalah sesuatu jenayah dan memberi kesan…keluarga mangsa akan menangis dan mahu menuntut keadilan,” katanya.
Beliau menambah walaupun pembunuh berkenaan dihukum penjara 30 tahun sekalipun, dia masih “hidup”.
“Di mana keadilannya? Saya fikirkan orang yang jadi mangsa,” katanya.
Bekas ketua polis negara itu menggesa kerajaan supaya mendapatkan dan mengkaji pendapat awam sebelum mencadangkan penghapusan hukuman mati.
“Saya yakin ramai mahu hukuman mati dikekalkan,” katanya.
Dadah juga membunuh
Sementara itu, seorang peguam bersetuju dengan hujah Rahim mengenai budaya orang Asia dan hukuman setimpal bagi jenayah tertentu.
Adnan Seman memberi contoh kesan dadah kepada orang yang menyalahgunakannya dan penjenayah yang terdorong kerananya, serta mangsa orang-orang itu.
“Sebab itu hukuman mati terpakai kepada jenayah dadah dalam skop besar. Kalau tak ada hukuman mati, kemungkinan ramai sanggup mengedar dadah,” katanya.
Beliau juga khuatir jika hukuman mati dihapuskan, ia akan mengalakkan lagi orang-orang yang mengambil upah membunuh.
“Sebab mereka tahu takkan kena hukuman mati,” katanya.