Lebih 30 murid keracunan karbon monoksida di Kanada

Seramai 35 murid dan 8 staf Sekolah Ecole des Decouvreurs di LaSalle dikejarkan ke hospital Isnin lalu. (Gambar Youtube)

OTTAWA: Seramai 43 orang termasuk 35 murid dan 8 dewasa dimasukkan ke hospital akibat kebocoran karbon monoksida di sebuah sekolah rendah di Montreal, Kanada, lapor agensi berita Xinhua, memetik media tempatan CTV.

Seramai 35 murid dan 8 staf Sekolah Ecole des Decouvreurs di LaSalle, yang mempunyai 270 murid, tiba-tiba sakit jam 11.30 Isnin. Ambulans dikejarkan ke sekolah terbabit untuk merawat dan memeriksa mangsa di tempat kejadian.

Mereka yang dimasukkan ke hospital kini dilaporkan stabil dan masih dalam pemerhatian selepas mengalami simptom pening dan mual.

Masalah berpunca daripada sistem alat pemanas sekolah terbabit yang mengeluarkan gas karbon monoksida ke bangunan itu.

Semua penghuni bangunan diarahkan keluar dan anggota bomba akan melakukan pengudaraan di sekolah itu sebelum kerja membaik pulih dijalankan.