NGO gesa kerajaan wajibkan suntikan vaksin

Kerajaan PH tidak bercadang meneruskan rancangan kerajaan terdahulu menggubal undang-undang baru bagi mewajibkan ibu bapa memberi suntikan vaksin kepada anak mereka. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Sebuah NGO Islam menggesa kerajaan segera mewajibkan suntikan imunisasi kepada anak-anak di negara ini.

Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini dari Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia berkata sudah tiba masa untuk Kementerian Kesihatan menjadikan suntikan vaksin sebagai syarat wajib bagi setiap kanak-kanak yang mahu masuk ke taska dan sekolah ketika ini.

“Ia menepati prinsip usul fiqh ‘masalih mursalah’ dan juga kaedah fiqh yang menyatakan tindakan pemerintah haruslah demi maslahah rakyat.

“Imunisasi yang menyeluruh penting bagi mewujudkan imunisasi kelompok (herd immunity) bagi melindungi anak-anak kita sendiri dan juga sebahagian anak lain yang sakit dan rendah imuniti,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya melihat kepentingan masyarakat umum berbanding sentimen individu yang menolak suntikan imunisasi secara menyeluruh.

Katanya, penting bagi kerajaan sebagai pemerintah memastikan setiap kanak-kanak dilindungi daripada diancam penyakit berjangkit yang kadang-kala menyebabkan kematian.

“Kemungkinan besar pihak berwajib (kerajaan) masih menghormati autonomi seorang individu untuk menerima atau menolak sesuatu kaedah rawatan.

“Bagaimanapun kita khuatir ada pihak menolak vaksin hanya kerana sentimen tidak berasas dan fakta yang terpesong,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini berkata ia tidak bercadang meneruskan rancangan kerajaan terdahulu untuk menggubal undang-undang baru bagi mewajibkan ibu bapa memberi suntikan vaksin dan imunisasi kepada anak mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata ketika ini hanya sebilangan kecil ibu bapa yang mengambil sikap berkecuali dengan tidak memberi suntikan vaksin kepada anak mereka, meskipun sudah ditekankan kebaikan mengenainya.

“Setakat ini, Kementerian Kesihatan tiada rancangan untuk mewajibkan vaksin sebab kita lihat peratusan pematuhan untuk memberikan suntikan ini melebihi 95%.

“Saya rasa ketika ini kita beri hak kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang terbaik dan dalam hal ini, ia terpulang kepada ibu bapa,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mencadangkan kerajaan mengenakan hukuman denda kepada mana-mana ibu bapa yang enggan memberikan suntikan itu kepada anak-anak mereka.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata kerajaan boleh menjadikan negara luar sebagai contoh dalam memastikan setiap kanak-kanak atau bayi di negara itu diberikan suntikan yang sepatutnya.

“Di negara seperti Perancis, Itali, Jerman dan Australia, suntikan vaksin diwajibkan dan ibu bapa didenda beratus dolar sekiranya tidak mahu mengimunisasikan anak mereka. Anak mereka juga tidak dibenarkan ke sekolah sehingga diberikan vaksin. Kami mencadangkan kerajaan mempertimbangkan langkah sedemikian.

“Laporan KKM yang menunjukkan peningkatan sebanyak 22% kes demam campak pada 5 bulan pertama 2018 dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2017, memberikan gambaran pemberian vaksin tersebut jatuh kepada 92%. Ini membimbangkan pihak kami. Data terbaru menunjukkan semakin ramai kanak-kanak bandar yang tidak diimunisasi,” katanya kepada FMT.

Pada Julai 2016, Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, kementerian berkenaan dalam perbincangan menggubal undang-undang baru bagi mewajibkan setiap ibu bapa memberikan suntikan vaksin kepada anak mereka.

Katanya, kementerian itu sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersetuju suntikan vaksin adalah satu kewajipan.