Selepas 3 bulan, polis masih tunggu laporan bedah siasat bekas CEO Cradle Fund

Polis mengklasifikasikan kematian Nazrin Hassan sebagai kes bunuh, selepas bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis masih menunggu laporan bedah siasat kali ke-2 ke atas jenazah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang meninggal dunia pertengahan tahun lalu.

“Belum lagi. Kita tunggu keputusan daripada laporan daripada (ahli) patologi yang buat bedah siasat kali ke-2,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau menjangkakan polis menerima laporan itu dalam masa terdekat.

Pada mulanya, Nazrin dilaporkan maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, akibat letupan telefon bimbitnya, pada 14 Jun 2018.

Bagaimanapun, polis pada 3 Ogos lalu mengklasifikasikan kematian Nazrin sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

Susulan itu, polis menahan isteri Nazrin bersama bekas suaminya, 2 anak tirinya, adik ipar perempuan Nazrin dan suaminya untuk disoal siasat.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Nazrin digali semula untuk menjalani bedah siasat kali ke-2 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mencari bukti baru mengenai punca kematiannya.