Calon PH Cameron Highlands fitnah, cuba tegak benang basah, kata MB

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail mahu calon Pakatan Harapan membuktikan tuduhan ahli Majlis Daerah Cameron Highlands dilantik melalui kroni dan bukan anak tempatan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tuduhan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran bahawa ahli Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dilantik melalui kroni dan bukan anak tempatan adalah fitnah, kata menteri besar.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menuntut calon pilihan raya kecil Cameron Highlands itu mengemukakan bukti tuduhan itu.

“Jika beliau masih beriya-iya cuba untuk ‘menegak benang yang basah’ maka nasihat kita kepadanya ialah sila buktikan dakwaannya.

“Hakikatnya ialah pelantikan ahli majlis dibuat dalam kalangan orang tempatan yang berada dalam Parlimen Cameron Highlands,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Manogaran, yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang mendakwa kebanyakan ahli MDCH bukan berasal dari Cameron Highlands, sebaliknya dari daerah lain.

“Saya percaya ini adalah sebab kroni pihak tertentu bawa pegawai ini untuk menjadi ahli majlis, yang tidak tahu sentimen dan keperluan rakyat tempatan,” katanya semalam.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri sangat mementingkan komposisi kaum dan jantina dan disebabkan itu dalam kalangan ahli MDCH terdapat Orang Asli, golongan muda serta wakil badan bukan kerajaan.

Mengenai dakwaan MDCH menetapkan bayaran letak kereta mahal, Wan Rosdy menjelaskan tidak semua tempat letak kereta di Cameron Highlands dikenakan bayaran.

Katanya, tempat letak kereta yang dikenakan bayaran hanya di kawasan tumpuan pelancong di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm.

“Kawasan penempatan penduduk seperti di Lembah Bertam, Ringlet, Habu, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja, tidak dikenakan bayaran letak kereta.

“Pengenaan bayaran letak kereta itu termaktub dalam Jadual Pertama, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) yang mana bayaran atau caj ditetapkan ialah RM0.60 sen setiap 1 jam atau RM80 sebulan.

“Ekoran maklum balas orang ramai sebelum ini, MDCH bersetuju menyediakan kupon 30 sen bagi setiap setengah jam, demi memudahkan mereka berurusan dan menggunakan tempat letak kereta kurang dari tempoh sejam,” katanya.

Mengenai dakwaan bayaran tempat letak kereta bulanan yang dikatakan mahal, Wan Rosdy berkata majlis daerah menawarkan diskaun 25% kepada mereka yang membayar untuk tempoh lebih dari sebulan.

“Rasionalnya ialah kerana Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan tarikan pelancongan maka MDCH perlu mengawal sistem tempat letak kereta supaya berjalan lancar.

“Dengan kawalan ini maka orang ramai tidak akan meletak kenderaan sesuka hati atau di kawasan yang tidak dibenarkan, sehingga menyebabkan kesesakan.

“Kawalan ini membolehkan orang ramai tidak meletak kenderaan persendirian mereka terlalu lama terutama peniaga yang seolah-olah menjadikan tempat letak kereta milik sendiri sehingga menyebabkan orang lain tidak dapat meletakkan kenderaan di situ,” katanya.