Hishammuddin: Gambar bersama Zahid, Najib matikan spekulasi keluar Umno

CAMERON HIGHLANDS: Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata gambarnya bersama Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas presiden Datuk Seri Najib Razak mematikan spekulasi beliau akan meninggalkan parti Melayu itu.

Bekas naib presiden Umno itu lega gambar tersebut tersebar kerana terlalu banyak spekulasi mengenai langkah politiknya selepas penghijrahan keluar wakil-wakil rakyat Umno sebelum ini.

“Orang kata saya nak keluar Umno masuk PPBM, selepas itu nak jadi setiausaha agung pula, kata saya nak bawa berpuluh ahli Parlimen keluar, tapi sampai sekarang tidak jadi kenyataan,” katanya kepada pemberita ketika berkempen untuk Barisan Nasional di Cameron Highlands hari ini.

Beliau berkata hampir setiap hari ada saja spekulasi mengenai pemimpin BN ketika gabungan itu dalam proses pemulihan selepas kekalahan pada pilihan raya umum lalu.

Hishammuddin memberi bayangan ada pihak tertentu cuba “mencari makan” dengan menyebarkan spekulasi seperti itu.

“Cameron Highlands mungkin jadi pemangkin kepada semua orang. Siapa nak cari makan itu, jangan beri dia ruang,” katanya.

6 wakil rakyat

Ditanya adakah cerita 6 wakil rakyat yang mahu kembali kepada partinya dibincangkan dalam pertemuan 8 mata itu, Hishammuddin berkata tidak.

Beliau juga meminta BN tidak mengembar-gemburkan cerita 6 wakil rakyat itu bagi menjaga maruah semua pihak berkenaan termasuk Umno.

“Kalau kita cerita dekat khalayak ramai, mana nak letak air muka? Kalau betul ikhlas nak balik, biarkan. Mereka boleh sedar sendiri tapi bila heboh dalam media sosial, kita pun ada maruah,” katanya.

Tak setuju pemilihan semula

Ditanya mengenai gesaan mahu Umno mengadakan pemilihan semula selepas Zahid menyerahkan tugas-tugas presiden kepada Mohamad, Hishammuddin berkata pemilihan semula boleh membawa kepada perpecahan.

“Ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Berpecah lagi. Beri ruang untuk orang ‘cari makan’,” katanya.

Hishammuddin juga menepis dakwaan Zahid sedang merajuk dengan parti sendiri.

“Zahid seorang pemimpin matang. Apa yang dia lalui bukan perkara mudah. Apa yang saya lalui sebelum ini bukan sesuatu yang mudah,” katanya.