Kerajaan denda kantin sekolah tak pamer tanda harga

Tindakan pengusaha kantin tidak mempamerkan tanda harga menyukarkan pelajar merancang perbelanjaan harian mereka. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor hari ini mengenakan tindakan ke atas seorang pengusaha kantin di sebuah sekolah menengah di daerah ini selepas gagal mempamerkan tanda harga pada makanan dan minuman yang dijual.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, adalah menjadi satu kesalahan jika sesebuah premis perniagaan tidak mempamerkan harga, seterusnya mengelirukan pengguna.

“Tindakan pengusaha kantin itu juga akan menyukarkan pelajar terutamanya pelajar tingkatan 1 yang baru memulakan sesi persekolahan untuk merancang perbelanjaan harian mereka.

“Justeru, pengusaha itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 3(1) Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan kompaun dikenakan berdasarkan nilai rampasan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas melakukan pemeriksaan di beberapa sekolah rendah dan menengah sekitar Seksyen 27 dan Alam Megah, hari ini.

Turut hadir, Penyelia Kanan Bahagian Kesihatan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Zulkifli Ahmad.

Mengulas lanjut, Azman berkata lebih 75 kantin diperiksa daripada keseluruhan 939 sekolah rendah dan menengah di negeri itu sejak Isnin lepas.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihak sekolah boleh membuat aduan kepada jabatan sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha kantin.

“Jika ada permintaan daripada pengusaha untuk menaikkan harga sesuatu makanan, mereka perlu memohon secara rasmi kepada pentadbir sekolah untuk diputuskan harga baru dalam lampiran perjanjian tambahan bagi mengawal kenaikan harga daripada berleluasa,” katanya.