Mahkamah: Tiada rawatan luar negara bagi Musa Aman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan arahan Mahkamah Sesyen yang membenarkan bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendapatkan pasportnya untuk menerima rawatan di luar negara.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan Musa gagal membuktikan rawatan diperlukannya tidak boleh didapati di Malaysia.

“Tiada cadangan oleh tertuduh yang dia hanya boleh dirawat di Singapura atau UK (United Kingdom).

“Bagi saya, tertuduh sekadar mahu dirawat doktor pilihannya,” katanya.

Hakim berkata, walaupun tidak dapat dinafikan Musa menghidap penyakit jantung, isu penting ialah sama ada membenarkannya menerima rawatan dan menjalani ujian lanjut di luar negara.

Pada 7 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan permohonan Musa untuk melepaskan pasportnya yang disimpan mahkamah, dari 15 Januari hingga 10 Februari ini, dengan syarat dia hanya boleh pergi ke Singapura dan London.

Beliau turut mengarahkan Musa memulangkan pasportnya menjelang 11 Februari dan penjamin perlu bertanggungjawab terhadap tertuduh serta mengetahui di mana dia berada sepanjang tempoh itu.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memfailkan semakan semula bagi menerbalikkan arahan Rozina.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Shoib dilaporkan berkata, alasan Musa mendapatkan rawatan di luar negara tidak “luar biasa”, tidak kukuh dan tidak memperlihatkan keperluan mendesak.

Katanya, kebebasan rakyat pergi ke luar negara bukan lagi hak mutlak, apabila seseorang itu dituduh di mahkamah dan keputusan mahkamah membenarkan tertuduh mendapatkan pasport boleh menyebabkan kebarangkalian dia melarikan diri.

Peguam Musa, Amer Hamzah Arshad berkata beliau perlu tanya anak guamnya sama ada mahu memfailkan rayuan.

Pada 5 November lalu, Musa mengaku tidak bersalah terhadap 35 pertuduhan rasuah membabitkan AS$63.3 juta (RM263 juta) berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Dia dibenarkan diikat jamin RM2 juta dengan 2 penjamin.