Najib gesa kerajaan pertimbang rumah PPR kepada pemandu teksi

Najib (kiri) bersama Pengasas Big Blue Taxi Services Datuk Shamsubahrin Ismail (kanan) serta kira-kira 10 pemandu teksi di kediaman beliau di Langgak Duta hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada pemandu teksi, Datuk Seri Najib Razak berkata hari ini.

Bekas perdana menteri berkata, ini perlu kerana ramai daripada mereka masih tidak memiliki rumah.

“Mereka sudah mohon tapi tidak dipertimbangkan. Pada saya ini tidak adil kepada mereka.

“Ini kerana mereka rakyat yang bekerja keras, bekerja waktu yang panjang, memerlukan rumah dengan bayaran yang habis minima disebabkan pendapatan mereka yang tidak menentu,” katanya pada sidang medianya di kediaman beliau di Langgak Duta.

Terdahulu, beliau berjumpa Pengasas Big Blue Taxi Services Datuk Shamsubahrin Ismail dan kira-kira 10 pemandu teksi.

Najib berpendapat syarat yang dikenakan kepada pemandu kenderaan e-hailing terlalu longgar.

“Umpamanya, mereka boleh pakai seluar pendek dan seumpamanya. Juga yang begitu tidak adil adalah di mana di KLIA umpamanya, Grab boleh tempatkan teksi di situ, jadi hab.

“Kalau kita lihat kepada tafsiran e-hailing, e-hailing maknanya tak ada penempatan di situ. Bila perlu dia akan datang. Tapi di KLIA, dia seolah-olah jadi perkhidmatan teksi,” katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata beliau akan turun padang bersama penandu teksi bagi memahami lebih mendalam masalah mereka.

“Mudah-mudahan pihak berkuasa akan memberi pertimbangan yang berat kepada rayuan mereka yang saya anggap sebagai rayuan yang sangat munasabah. Patut diberi pertimbangan yang serius oleh kerajaan,” katanya.

Najib turut menjelaskan bagaimana perkhidmatan e-hailing dan teksi diuruskan ketika beliau menjadi perdana menteri, sebelum berundur berikutan kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pada masa itu pihaknya masih mencari formula agar pemandu teksi dan e-hailing itu berada pada peringkat sama.

“Objektifnya adalah bagi memastikan mereka sama peringkat dan adil kepada pemandu teksi,” katanya.

Najib berkata, pada masa itu mereka juga ada program khas untuk pemandu teksi seperti memberi geran RM5,000 bagi membeli teksi baru dengan lesen individu.

“Ada masanya juga kita bagi tayar percuma dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.