Ahli Parlimen Pasir Gudang wakil MB atau wakil rakyat?

Gambar Bernama.

Semalam Pengerusi PKR Johor merangkap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memuat naik status di Facebook rasmi miliknya. Status tersebut berbau kecaman terhadap kerajaan Persekutuan kerana membiarkan begitu sahaja Singapura “membelasah” atau “membuli” Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berhubung dengan isu pencerobohan perairan Malaysia-Singapura.

Malah Hassan juga turut mengecam pemimpin kerajaan negeri yang lain kerana turut mendiamkan diri dan membiarkan menteri besar Johor mempertahankan dirinya seorangdiri. Bukan itu sahaja, Hassan juga menyifatkan pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri sebagai bacul dan dayus kerana membiarkan Osman dibuli Singapura.

Jika kita lihat, isu ini mendapat perhatian Hassan sehingga bertegas mahu perkara ini dibincangkan dalam Parlimen. Tetapi yang hairannya kenapa Hassan hanya berdiam diri dan kaku apabila penduduk kampung Pandan mendesak kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah setinggan di kawasan itu?

Persoalannya, kenapa bersuara untuk menteri besar Johor boleh, tetapi tidak untuk rakyat negeri Johor khususnya penduduk di Parlimen Pasir Gudang?

Isu setinggan ini bukan perkara remeh-temeh yang boleh dipandang sebelah mata. Bayangkan sejak Parlimen Pasir Gudang Johor jatuh ke tangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), penduduk di Parlimen tersebut dibiarkan tertunggu-tunggu berkenaan status tanah kampung yang mereka diami yang juga sebahagian daripada penempatan setinggan dalam daerah tersebut.

Malah rata-rata penduduk di Parlimen itu mendapati tiada satu pun usaha yang ditunjukkan dari kepimpinan yang ada untuk cuba menyelesaikan masalah di kawasan itu.

Kecewanya, bukan hanya sebulan 2 Hassan berdiam diri soal isu setinggan ini, tetapi berbulan-bulan lamanya selepas pilihan raya umum ke-14 yang lalu. Sedangkan semasa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, mereka sudah pun memulakan langkah untuk menyelesaikan masalah ini.

Malah Pemuda Umno bahagian Pasir Gudang yang diwakili Noor Azleen Ambros ada membincangkan isu ini beberapa hari lepas ketika melawat penempatan setinggan di Kampung Melayu, Pandan. Noor Azleen juga ada menyatakan desakannya terhadap kerajaan negeri untuk komited menyelesaikan isu tanah dan penempatan setinggan di Parlimen itu.

Malangnya, sehingga ke hari ini kerajaan negeri terutamanya Hassan tidak memberi apa-apa jawapan mahupun respon terhadap isu ini. Padahal rakyat masih tertunggu-tunggu respon yang bakal diberikan oleh Hassan tetapi yang ada cuma respon berkenaan rakan politiknya sahaja.

Jelas dapat dilihat, apabila berkaitan soal rakan politiknya yang sememangnya membuat kesilapan, cepat sahaja Hassan memberi respon dan mempertahankannya. Tetapi apabila soal rakyat yang mahukan pembelaan sewajarnya, Hassan hanya duduk dalam gua, berdiam diri sahaja.

Jadi sekarang Hassan ini wakil kepada rakyat atau wakil kepada Osman sebenarnya? Mana suaranya untuk membela rakyat Johor khusunya penduduk di Parlimen Pasir Gudang?

Sudah-sudahlah berpolitik, mungkin selepas ini boleh berhenti berpolitik dan lebihkan untuk bekerja sebagai wakil rakyat. Ini bukan pesan rakyat, tetapi inilah pesan Tunku Mahkota Johor jika Hassan sudah lupa.

Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.