Bos baru Perda siasat kemungkinan salah urus

Pelantikan Haniff Khatri Abdulla untuk mengetuai Perda diumumkan 5 Januari lalu.

GEORGE TOWN: Pengerusi baru Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Haniff Khatri Abdulla hari ini menyuarakan komitmennya untuk membersih dan menjayakan agensi persekutuan itu.

Ini termasuk mengambil tindakan terhadap “jualan tanah murah” yang menjadi tajuk berita 2 tahun lalu.

Haniff berkata, perkara pertama dilakukannya selepas mengambil alih jawatan itu 13 hari lalu ialah membersihkan Perda daripada kemungkinan salah urus kerana beliau mahu ia bermula dengan rekod bersih.

Menjelang hujung bulan depan, katanya, pengurusan Perda mungkin menimbangkan tindakan sivil terhadap mereka yang terlibat dengan sebarang salah laku, termasuk penjualan tanah Perda di Nibong Tebal di bawah harga pasaran.

“Kita sudah tubuhkan unit untuk siasat perkara tersebut dan siasatan itu telah capai kemajuan 75%. Kita tahu laporan jenayah sudah dibuat (mengenai harga tanah murah itu) dan kita mungkin ambil tindakan sivil untuk kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Apa sahaja kerugian yang kita alami, kita akan cuba dapatkan semula,” katanya selepas melancarkan penghantaran biskut Haliza Food Industries Sdn Bhd ke Kemboja.

Syarikat itu menerima bantuan daripada Perda yang ditubuhkan pada 1 Jun 1983 sebagai badan membangunkan Pulau Pinang di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini mendakwa Perda menjual tanah seluas 3.4 hektar di Kampung Tok Keramat dekat Maktab Rendah Sains Mara Transkrian, Nibong Tebal pada harga RM1.42 juta, sedangkan nilai pasaran tanah itu ialah RM16.6 juta.

Lim dilaporkan berkata, tanah itu dijual kepada SYT Prestige Sdn Bhd pada 28 Julai 2015.

Katanya, Perda mendapat tanah tersebut daripada kerajaan negeri pada 1986 untuk membina rumah kos rendah, tetapi ia dijual dengan harga murah akibat isu hakisan tanah.

Masalah hakisan tanah itu mengakibatkan 107 rumah di tapak tersebut dirobohkan dan ia terus diabaikan selama 30 tahun. Tanah itu dibersihkan selepas dijual kepada SYT Prestige.

Bekas pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, tanah itu dijual murah kerana ia berhampiran sungai dan terdedah kepada hakisan tanah.

Katanya, analisa keuntungan kos pada masa itu menunjukkan tiada guna Perda meneruskan projek di situ
kerana ia mungkin mengalami kerugian sehingga RM10 juta.

Lim berkata, kerugian itu mungkin kurang separuh daripada jumlah yang dinyatakan Shabudin.

Pada Mac 2016, pemilik baru tanah tersebut menyerahkan pelan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai untuk membina 27 rumah kedai di situ.

Haniff berkata, beliau mahu Perda berada di barisan depan dalam usaha memperbaiki masa depan penduduk Pulau Pinang dan meningkatkan ekonomi negeri itu.

Ditanya sama ada pelantikannya sebagai pengerusi Perda dianggap lantikan politik, Haniff menafikannya dnegan berkata, beliau bukan ahli mana-mana parti politik, sebaliknya sekadar penasihat undang-undang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ialah penasihat undang-undang kepada perdana menteri ketika beliau bukan perdana menteri, dan juga penasihat undang-undang kepada PPBM serta pemimpin-pemimpin parti. Tapi, hakikatnya saya bukan ahli mana-mana parti politik.”

Katanya, beliau dibesarkan di Pulau Pinang kerana ibu bapanya berhijrah ke negeri itu setahun selepas beliau dilahirkan di Klang, Selangor.