Masih ingat pada filem Ghostbusters tahun 1980an?

Kepada mereka yang lebih menyukai filem asal berbanding keluaran terbarunya pada 2016, kami ada berita baik untuk anda.

Menurut Entertainment Weekly, pengarah Jason Reitman bakal mengarah dan menulis projek filem sekuel daripada Ghostbusters asal.

Reitman merupakan anak kepada pengarah dan pengeluar filem Ghostbusters (1984), dan Ghostbusters II (1989), Ivan Reitman.

“Saya selalu fikir saya adalah peminat ‘Ghostbusters’ yang pertama, ketika saya melawat set penggambaran filem ini semasa berumur 6 tahun. Saya mahu membuat filem ini untuk peminat Ghostbusters yang lain,” kata Jason Reitman.

“Ini adalah karya baru francais asal dan bukan reboot. Apa yang terjadi pada dekad 80-an akan kekal tetapi ditetapkan dalam era sekarang,” katanya.

Sony Pictures menjadualkan filem ‘Ghostbusters’ ini untuk tayangan musim panas tahun 2020, dengan penggambaran akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang.

Namun, pihaknya merasakan masih awal untuk mendedahkan plot filem, pelakon serta kemungkinan pelakon asal ‘Ghostbusters’ (1984) seperti Dan Aykroyd, Ernie Hudson, dan Bill Murray untuk kembali dalam projek ini.

Salah seorang pelakon asal filem tersebut, Harold Ramis, meninggal dunia pada tahun 2014.

“Kita berada di peringkat awal, dan saya mahu filem ini menjadi satu hadiah untuk penonton. Kami mahu kekalkan kejutan yang indah dan watak baru,” kata Reitman.

Ghostbusters (1984) ditulis oleh Dan Aykroyd dan Harold Ramis dan berjaya menjadi filem pecah panggung.

Dengan peruntukkan AS$30 juta, filem itu mencapai kutipan sebuah box office lebih AS$242 juta.

Di samping itu, filem ‘Ghostbusters’ (1984) juga mendapat 2 pencalonan Anugerah Akademi ke-57 untuk kategori Kesan Visual Terbaik dan Lagu Asli Terbaik untuk lagu tema.

Kejayaan ‘Ghostbusters’ (1984) diulang semula dalam sekuelnya, ‘Ghostbusters II’ (1989) yang masih menggunakan kru filem pertamanya.

Filem itu menggunakan peruntukkan AS$35 juta dan mengutip AS$215.4 juta.

Sekuel seterusnya, ‘Ghostbusters III: Hellbent’ yang sepatutnya dibikin pada 1999 bersama Dan Aykroyd malangnya tidak pernah disiapkan.

Malah, Bill Murray pernah menolak untuk kembali ke ‘Ghostbusters III’ pada 2004 dan pada 2014, Ivan Reitman meletak jawatan dari projek itu selepas Harold Ramis meninggal dunia.

Pada tahun 2016, projek Ghostbusters dimulakan dengan menggantikan semua pelakon kepada pemburu hantu wanita.

Filem itu dibuat dengan anggaran AS$144 juta, mengutip box office bernilai AS$229.1 juta.

“Saya sangat menghormati apa yang dilakukan Paul dengan pelakon-pelakon baru ini. Saya ingin melihat lebih banyak filem daripada mereka. Namun, filem baru ini akan mengikut filem asal,” kata Jason Reitman, dipetik dari Entertainment Weekly.

Diharap, filem Ghostbusters akan datang ini akan membawa kita semula kepada nostalgia lama era 80an.