Saya tetap setia bersama BN selepas menang, kata Ramli

Ramli Mohd Nor bersama Najib Razak yang tiba di Cameron Highlands untuk membantu kempen BN.

CAMERON HIGHLANDS: Calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor berkata beliau tetap akan setia dengan BN sekiranya menang pada pilihan raya kecil Cameron Highlands Sabtu depan.

Ramli juga berkata tidak akan mengikut jejak beberapa wakil rakyat Umno yang bertindak keluar parti selepas menang atas tiket BN pada Mei lepas.

“BN sentiasa di hati saya, tidak timbul isu itu,” katanya ringkas kepada FMT hari ini.

Sekiranya menang, Ramli bakal menjadi ahli Parlimen pertama dari kalangan Orang Asli.

Bekas pegawai kanan polis itu berkata, beliau akan terus setia bersama BN dan tidak akan termakan dengan pujuk rayu mana-mana pihak berhubung masa depan politiknya.

Ramli hari ini menerima kedatangan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membantunya berkempan di Masjid Kampung Raja, dekat sini.

Beliau kemudian mengadakan “walkabout” bersama Najib di sekitar kampung berkenaan.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh dari BN pada pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH, M Manogaran, Ramli dan 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi awal pada 22 Jan dan hari pengundian 26 Jan ini.