Thaipusam yang jatuh pada 21 Januari 2019 iaitu Isnin ternyata memberi nafas lega kepada ramai orang, termasuk yang bukan beragama Hindu. Cuti panjang Sabtu, Ahad dan Isnin boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti atau berehat panjang.

Mereka yang beragama Hindu pula, mungkin berpeluang menggunakan cuti ini untuk ke beberapa kuil Dewa Muruga di beberapa lokasi di seluruh negara.

Ternyata banyak tempat seperti kuil di Batu Caves, Selayang; kuil Waterfall di Pulau Pinang; kuil Gunung Cheroh di Ipoh menjadi tumpuan Thaipusam. Selain tujuan sembahyang, ramai yang memilih mengunjungi tempat beribadat ini sekadar mahu merasai pengalaman tersebut.

Apapun, jaga adab dan sikap anda sepanjang masa kerana Thaipusam sebagai peristiwa yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara jelas menjadi tumpuan media dan pelancong asing.

Selain bersembahyang, ikuti 8 perkara ini di lokasi tumpuan Thaipusam.

1. Jangan, jangan, jangan buang sampah merata

Setiap tahun permintaan ini diulang oleh semua pihak. Bayangkan, kos pembersihan sambutan Thaipusam selama 3 hari menelan kos RM80,000. Majlis Perbandaran Selayang (MPS) peruntukkan RM158,000 bagi 5 hari pembersihan. Itu cerita 5 tahun lepas.

Pihak kuil, PBT dan pihak NGO membekalkan banyak tong sampah di sekitar perjalanan ke kuil dan di dalam kuil, jadi gunakan tong sampah berkenaan.

Ingat, lebih dari iman, sikap anda sendiri yang memakbulkan nazar dan doa, jadi jaga kebersihan.

2. Tulis nombor telefon ibu bapa, penjaga, simpan dalam poket baju anak

Dalam khusyuk bersembahyang, membeli barang atau memesan makan, ada kemungkinan anak kecil yang kita bawa ‘terlepas’ dari genggaman. Dengan keadaan yang sesak dengan manusia, pasti sukar untuk mencari anak anda.

Untuk elak perkara yang tidak diingini, tulis nama dan nombor telefon anda, simpan di dalam kocek anak. Walaupun anak tahu nombor telefon, tetapi dalam keadaan panik dan takut, mereka mungkin lupa atau tersalah sebut.
Beritahu anak perkara yang perlu dilakukan sekiranya terpisah dari anda. Setiap kuil ini mempunyai pasukan sukarela beruniform, jadi buat homework sebelum pergi dan ajar anak pihak yang perlu dicari jika hilang atau keseorangan.

3. Bawa beg kertas/kain/plastik sendiri

Bukankah kerajaan sudah mengingatkan anda mengenai kempen bebas beg plastik? Jadi elak membeli barang dan mengumpul beg plastik. Sebaiknya bawa beg sendiri dan kurangkan penggunaan plastik tidak kira dalam bentuk beg, bungkusan atau apa sahaja. Kalau anda mahu bersembahyang dan berdoa untuk kesejahteraan, bermulalah dengan berbuat baik kepada alam sekitar.

4. Jangan ‘park’ kenderaan anda sesuka hati, guna pengangkutan awam

Kalau semua orang pentingkan keselesaan sendiri, memang ia akan berakhir dengan ‘menyusahkan’ orang lain. Apa kata guna sahaja pengangkutan awam. KTM Berhad misalnya menyediakan perkhidmatan tren komuter tanpa henti selama 4 hari 3 malam bagi laluan:

Batu Caves – Seremban – Batu Caves
Pelabuhan Klang – KL Sentral – Pelabuhan Klang

Perkhidmatan ini akan beroperasi 24 jam bermula 19 Januari sehingga 22 Januari 2019 dan tambang bagi penumpang dewasa hanya dengan menggunakan Kad Komuter Link atau Touch and Go sahaja. Jadi tak perlu berdegil nak bawa kereta sendiri dan buat keadaan bertambah sesak.

5. Simpan dompet, telefon bimbit dengan selamat

Tak kiralah, kita menghadiri upacara keagamaan atau tidak, pencuri dan penyangak ada di mana-mana. Jangankan dompet, malah kasut dan selipar yang ditinggalkan di perkarangan kuil pun boleh disambar. Jadi elak simpan dompet atau telefon di poket belakang. Kepada yang terjumpa barangan berharga, sila pulangkan kepada pemilik atau serah sahaja kepada polis. Anda ke kuil untuk cari pahala bukan kumpul dosa!

6. Elak pakai barangan kemas dengan keterlaluan

Ini bukanlah tempatnya, kerana ia bukan majlis keramaian atau parti harijadi. Berpada-padalah. Jangan undang masalah dengan memakai terlalu banyak aksesori emas atau barangan berharga. Mudah sahaja bagi mereka yang ‘gatal tangan’ tunjuk kepakaran mereka. Tak guna menyesal selepas anda kehilangan sesuatu yang berharga.

7. Hormati penganut

Pengunjung kuil sempena Thaipusam, tidak kira yang beragama Hindu atau pelancong, sama-sama kita tunjuk hormat. Jangan mengganggu dan buat kacau di sekitar kawasan tempat beribadat. Penganut lain mungkin melangsaikan hutang nazar, anda pula sibuk buat perangai. Anda ke kuil untuk sembahyang bukan jadi pengacau!

Selain itu, bagi mereka yang ada hati buat komen menghina di laman sosial, hentikanlah. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak ambil tindakan terhadap komen yang menghina. Lagipun, sesiapa sahaja boleh ‘screen shot’ komen anda dan viralkan. Tak pasal-pasal jadi bahan kontroversi pula.

8. Aplikasi pintar untuk periksa trafik dan keadaan lalu lintas

Aplikasi trafik dan saluran radio menawarkan maklumat mengenai kesesakan lalu lintas. Ia membantu mereka yang mahu menggunakan jalan-jalan sibuk sama ada ke kuil sempena Thaipusam ataupun terpaksa menggunakan jalan tersebut atas urusan lain.

Aplikasi Waze misalnya menyediakan jadual waktu terbaik dan terburuk memandu kenderaan di Kuala Lumpur (KL).

Jadi kalau nak elak sesak, boleh rujuk waktu di bawah.

20 Januari

Mungkin sesak sekitar 10 hingga 11pagi
Waktu terbaik sekitar 7 petang hingga 11 malam

21Januari

Mungkin sesak sekitar 4 hingga 5 pagi
Waktu terbaik sekitar 8 hingga 9 malam