Unjuran: Upah benar negara naik 3.6% tahun ini berbanding 3.5% pada 2018

Organisasi agak berhati-hati dalam memperuntukkan sejumlah besar kenaikan gaji kepada pekerja berikutan tanda penyusutan ekonomi semakin jelas.

KUALA LUMPUR: Upah sebenar di Malaysia dijangka berkembang 3.6% pada 2019, sedikit meningkat berbanding 3.5% yang diunjurkan tahun lepas, diselaraskan dengan kadar inflasi 1.4%, menurut unjuran gaji firma perunding pengurusan antarbangsa Korn Ferry 2019.

Unjuran itu yang dikeluarkan hari ini, menyebut semua sektor yang ditinjau menyaksikan peningkatan gaji asas, dengan sektor telekomunikasi dan media diunjurkan mencatat peningkatan tertinggi pada 2019, naik 0.4% kepada 6.0%.

“Sektor insurans dan minyak dan gas dijangka menyaksikan kenaikan gaji asas median terkecil, masing-masing meningkat 0.2% daripada 5.4 dan 4.2%.

“Sektor produk perindustrian merupakan satu-satunya pengecualian apabila gaji asas median diunjur menurun sebanyak 0.2% kepada 4.9%,” katanya.

Sementara itu, pengurus negara bagi produk, Halim Ariff, berkata, syarikat itu mendapati kebanyakan organisasi mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.

“Tanda-tanda penyusutan ekonomi sudah dapat dilihat, dan oleh itu organisasi menjadi agak berhati-hati dalam memperuntukkan sejumlah besar kenaikan gaji kepada pekerja mereka,” katanya.

Halim berkata, trend pembayaran bonus berubah-ubah juga dijangkakan berkurang, pada purata 2.1 bulan pada 2019 berbanding purata 2.3 bulan pada 2018.

“Bonus bagi sektor pembinaan dijangka menjadi antara tertinggi pada 2019, iaitu sebanyak 2.8 bulan, manakala bonus bagi pekerja dalam sektor barangan dan perkhidmatan pengguna dijangka kekal antara yang paling rendah sebanyak 1.9 bulan,” katanya.

Pada puratanya, pengurusan kanan dan pertengahan dijangka menyaksikan penurunan terbesar dalam pembayaran bonus yang berubah-ubah, masing-masing turun 0.6 bulan dan 0.5 bulan, manakala petugas perkeranian dijangka meningkat 0.2 bulan.

Bonus profesional muda cenderung kekal pada purata 2.0 bulan pada 2019.

“Dengan keyakinan ke atas pertumbuhan yang masih rendah, kami akan mengesyorkan syarikat mengkaji semula pemacu kos imbuhan agar konsisten dengan persekitaran perniagaan dan keadaan pasaran yang berubah,” katanya.