2 warga Indonesia terlepas hukuman mati di Malaysia

Sejak 2011 seramai 442 warga Indonesia dikenakan hukuman mati di Malaysia. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Dua warga Indonesia dibebaskan daripada hukuman gantung di Malaysia selepas penghakiman mendapati masing-masing menjadi mangsa penipuan dan tiada bukti kukuh untuk pendakwaan.

Kompas melaporkan Siti Nurhidayah ditahan kerana menyeludup dadah jenis syabu di lapangan terbang di Pulau Pinang. Sementara, Mattari didakwa membunuh warga Bangladesh di mana mayat mangsa ditemui tertanah berdekatan tempat kerjanya.

Kedua-dua mereka kini telah kembali ke negara asal.

Menurut laporan, ketika perbicaraan, peguam Siti berjaya mengemukakan beberapa saksi yang memberi keterangan bahawa dia menjadi mangsa penipuan. Dia dibebaskan pada 15 Nov 2018.

Manakala dalam perbicaraan Mattari, peguam lelaki dari Madura itu berjaya meyakinkan hakim bahawa bukti yang ada tidak memadai, khususnya tiada saksi yang menyaksikan pembunuhan itu. Dia dibebaskan pada 2 November 2018.

“Selama proses pendakwaan, Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur selalu memberikan sokongan kepada mereka berdua, termasuk dalam bentuk menyediakan komunikasi dengan keluarga masing-masing,” kata Galuh Indriyati, kakitangan kedutaan.

Laporan itu menyatakan sejak 2011, sebanyak 442 warga Indonesia dikenakan hukuman mati di Malaysia. Kerajaan Indonesia berjaya membebaskan 308 tahanan, manakala 134 lagi masih menunggu hukuman.