Pembayar cukai ialah wira negara tak didendang

(Gambar Bernama)

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang diberikan tanggungjawab serta amanah untuk mengutip hasil cukai langsung negara. Sejak 1996 sehingga 2018, LHDN berjaya mengutip lebih RM1 trilion hasil cukai pendapatan daripada pembayar cukai.

Jumlah cukai langsung yang besar ini telah dipulangkan kepada rakyat jelata tanpa mengira bangsa, agama dan juga budaya. Setiap sektor dan isi rumah, waima pelancong dan juga pendatang tanpa izin secara umumnya menerima tempias cukup hebat daripada hasil cukai yang berjaya dikutip LHDN.

Secara umumnya, tidak semua orang membayar cukai pendapatan kerana hanya mereka yang layak sahaja dikenakan cukai pendapatan. Kelayakannya pula mudah, tidak memerlukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma, ijazah atau kelayakan akademik yang sewaktu dengannya.

Pada masa ini, memadai sekiranya anda berpendapatan RM34,000 (selepas potongan KWSP) setahun, maka anda layak untuk membayar cukai pendapatan. Semakin besar pendapatan anda, maka semakin besar jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar agar hasilnya dapat dinikmati bersama.

Inilah yang dinamakan sistem cukai progresif di Malaysia yang berpaksikan konsep ketelusan dan keadilan. Anda lebih kaya dan banyak aset, maka anda perlu membayar lebih cukai pendapatan daripada mereka yang kurang kaya dan kurang aset.

Hasilnya? Anak-anak Muthu, Chong dan Ahmad dapat peluang belajar di menara gading dan mengecapi kejayaan menggenggam segulung ijazah, lantas menjadi kebanggaan penduduk di desa.

Bayangkan anak-anak Muthu, Chong dan Ahmad ini berjaya menjadi peguam, peniaga dan jurutera yang pakar dalam bidang mereka. Mereka berkhidmat dengan sepenuh jiwa dan raga di kala rakyat Malaysia memerlukan nasihat perundangan, pasar raya yang mesra pengguna dan jalan raya tidak berlubang.

Masalah-masalah ini akan selesai kerana Malaysia mempunyai anak-anak yang berjaya ini, anak-anak yang dibiayai pihak kerajaan dalam proses pembelajaran mereka sejak kecil lagi.

Timbul pula persoalan, bagaimana kerajaan membiayai anak-anak ini? Jawapannya sudah pastilah daripada hasil cukai yang dibayar pembayar-pembayar cukai seperti kita. Inilah yang dikatakan konsep berkongsi rezeki, daripada rakyat untuk rakyat.

Rakyat yang membayar cukai dan rakyat jugalah yang akan menikmati manfaat cukai tersebut. Sudah pastinya ada ramai anak berjaya di luar sana seperti anak-anak Muthu, Chong dan Ahmad ini.

Di LHDN, pembayar cukai dianggap wira negara kerana telah melunaskan amanah yang dilafaz dalam ikrar Rukun Negara sejak di bangku sekolah. Pihak kerajaan juga mengiktiraf pembayar cukai sebagai wira tidak didendang kerana jasa mereka yang tidak akan pernah terbalas sampai bila-bila.

Di kala kita berbangga dengan kejayaan anak-anak kita yang menjadi pemimpin masyarakat disayangi mahupun usahawan disegani, di sebalik kejayaan mereka ini tercatat hasil sumbangan wira tidak didendang ini.

Maka, bersyukurlah kita kerana Malaysia ini secara umumnya dibangunkan hasil cukai pendapatan dan hasil cukai lain yang akhirnya menyumbang kepada kegemilangan Malaysia di persada dunia.

Selaku pembayar cukai tegar, sudah pastinya akan timbul perasaan girang dan teruja kerana disenaraikan wira negara yang tidak didendang. Tidak susah untuk menjadi wira kerana membayar cukai merupakan tindakan wira dalam konteks berbeza.

Maka, timbul persoalan bagaimana pula anugerah untuk mereka yang tidak atau gagal membayar cukai? Kita harus jelas, tidak semua layak membayar cukai pendapatan. Daripada 15 juta tenaga buruh di Malaysia, mungkin lebih kurang 2 hingga 3 juta sahaja yang membayar cukai pendapatan.

Begitu juga dengan 1.2 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mana mungkin suku daripadanya sahaja yang membayar cukai pendapatan. Selebihnya yang tidak membayar mungkin kerana jumlah pendapatan mereka tidak layak dikenakan cukai pendapatan.

Faktor kenapa pendapatan mereka tidak dikenakan cukai juga pelbagai, antaranya kerana pendapatan kecil, pendapatan bercukai yang kurang kerana pelepasan cukai yang banyak, insentif cukai diberikan kerajaan dan lain-lain.

Namun, satu sebab yang tidak boleh diterima dan salah di sisi undang-undang adalah “tidak layak dikenakan cukai kerana manipulasi dan perancangan cukai agresif” yang menatijahkan ketirisan hasil negara.

Perancangan cukai berlunaskan undang-undang percukaian tidak salah, namun perancangan cukai mengguna pakai ruang lompong perundangan sehingga menipu dalam pelaporan cukai adalah salah di sisi undang-undang.

Dalam konteks ini, LHDN bertegas sesiapa sahaja yang layak membayar cukai pendapatan perlulah menjalankan tanggungjawab tersebut dengan jujur dan amanah. Sekiranya didapati menipu dan menyimpang, hukuman bersandarkan Akta Cukai Pendapatan 1967 bakal menanti.

Walaupun begitu, Malaysia era baru diterajui barisan kepimpinan yang cukup prihatin dengan isu ini. Mungkin kelompok yang disebutkan ini gagal dalam melaporkan pendapatan mereka dengan betul selama ini.

Maka, kerajaan sedia melonggarkan hukuman penalti, sekiranya mereka tampil melaporkan pendapatan sebenar dan bayar cukai serta penalti kecil berjumlah 10% dan 15% atas jumlah cukai yang dikenakan.

Cukup kecil nilai penalti tersebut berbanding nilai asal berjumlah 80% hingga 300% yang akan dikenakan, sekiranya terus berdegil dan memperkecilkan wira negara lain menerusi sikap acuh tak acuh mereka.

Mungkin ini peluang terbaik untuk anda semua yang selama ini mungkin terlepas pandang dalam isu percukaian, lantas membuka lembaran baru. Mungkin ini juga peluang untuk anda menjadi wira negara dalam konteks “membayar cukai pendapatan” sebagaimana rakan-rakan lain.

Mungkin inilah masanya anda menyumbang sedikit rezeki dan pendapatan anda kepada negara agar manfaatnya dapat disebarluaskan kepada segenap lapisan masyarakat di negara kita.

Negara kita adalah milik kita bersama, mari bersama kita menyemai perasaan cinta kepada negara menerusi hasil cukai pendapatan atau cukai lain yang sewaktu dengannya.

Kenyataan ini dikirim oleh Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.