Pencuci kereta jalanan rancang buka perniagaan sendiri, syukur terima derma secukupnya

S Sukumarah yang sebelum ini membasuh kereta dengan berbekalkan sebiji baldi dan kain pencuci, kini merancang perniagaan sama yang lebih teratur.

PETALING JAYA: M Kanagi isteri kepada S Sukumarah, 40, yang kisahnya mencari nafkah bersama anak perempuannya S Sarmini, 12, dengan mencuci kereta di kawasan parkir di Seksyen 9, Shah Alam, tular di media sosial berkata, mereka menerima derma yang secukupnya untuk membuka perkhidmatan cuci kereta sendiri.

FMT menghubungi Kanagi selepas dimaklumkan tentang ura-ura yang mengatakan beberapa pihak tampil menaja sebuah premis mencuci kereta tetap untuk keluarga itu bagi meringankan beban mereka dan membuka peluang perniagaan.

Bagaimanapun Kanagi menafikan perkara itu dan berkata, tiada berita sedemikian yang dikongsi oleh suaminya.

“Suami saya sedang merancang membeli van terpakai supaya kami boleh berulang-alik membuka perniagaan cuci kereta di Sekyen 9, Shah Alam.

“Beliau perlu mendapatkan lesen dan kebenaran sebelum membuka perniagaan. Kami bersyukur kerana menerima derma yang secukupnya untuk membuka perniagaan sendiri,” katanya kepada FMT.

Kanagi berkata, mereka juga akan membeli barangan mencuci kereta seperti sabun, baldi, span, kain dan peralatan lain bagi menggantikan barangan yang digunakan sekarang.

Tambahnya, Sukumarah dijangka berbincang dengan sebuah restoran di Seksyen 9, Shah Alam untuk menguruskan bekalan air dan elektrik dari restoran tersebut.

“Buat masa ini kami masih dalam proses perancangan dan semuanya lancar. Kami akan pastikan ia dibuat dengan betul mengikut undang-undang supaya tidak menyusahkan sesiapa. Itu sahaja,” kata Kanagi.

Kisah Sukumarah, Kanagi, Sarmini dan anak bongsu mereka, S Hariaran, 6, tular selepas seorang pengguna Facebook, Adi Kamal berkongsi kisah bapa-anak ini mencari nafkah mencuci kereta dengan kemampuan yang terhad.

Perkongsian itu berjaya meraih simpati orang ramai dan syarikat besar, selain bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut melawat keluarga itu di kediaman mereka di Padang Jawa.