Pensyarah saran umat Islam bentuk imej boleh diterima bukan Islam

Tajuddin Mohd Rasdi (3 dari kanan) melancarkan buku karyanya berjudul ‘Not the Islam I Know’ malam tadi.

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu membentuk imej yang boleh diterima orang bukan Islam tanpa menggugat kesejahteraan budaya dan keharmonian agama lain di negara ini, kata pensyarah seni bina Islam, Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.

Katanya, tingkah laku sebahagian masyarakat Melayu Islam kadang-kadang memberikan bayangan buruk kepada bukan Islam sehingga mewujudkan perbalahan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Adalah penting untuk masyarakat bukan Islam memahami Islam, budaya serta sejarahnya supaya mereka boleh menerima umat Islam secara keseluruhan.

“Ada orang bukan Islam yang rasa tergugat dan takut dengan orang Islam, tetapi kita perlu memberi satu pemahaman ada versi Islam yang boleh diterima semua lapisan masyarakat,” katanya dalam pelancaran bukunya berjudul “Not the Islam I Know” malam tadi.

Tajuddin berkata, buku itu dihasilkannya untuk orang bukan Islam di negara ini.

“Saya bukan ahli agama dan buku ini bukan mengajar mengenai Islam yang betul atau salah, tetapi sekadar berkongsi pemikiran berbeza mengenai budaya dan agama Islam itu sendiri.

“Saya memahami Islam dalam perspektif berbeza, tetapi apabila saya mendengar pandangan orang Islam lain, itu bukanlah Islam yang saya kenali.”

Katanya, beliau tidak mahu masyarakat bukan Islam takut dan menjauhkan diri daripada umat Islam, sebaliknya mengajak mereka memahami konsep agama dan pemikiran Islam.

“Ada orang Islam yang mengamalkan gaya hidup dan mempunyai pemikiran salah, tetapi ada juga Islam yang baik. Sebab itu kita cuba membawa konsep rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam) supaya orang bukan Islam berasa selesa dengan orang Islam di negara ini.”