Polis teruskan usaha kesan bekas suami Indira

Indira Gandhi sedang mengesan bekas suami dan anak bongsunya dengan bantuan pihak polis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis masih meneruskan usaha mengesan bekas suami M Indira Gandhi yang belum menyerahkan hak penjagaan anak bongsu mereka kepada wanita itu seperti diarahkan oleh mahkamah.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata usaha mengesan dan menangkap Muhammad Riduan Abdullah masih berterusan sejak 30 Mei 2014.

“Walaupun kenyataan media dikeluarkan sebelum ini bagi mendapatkan kerjasama orang ramai mahupun Muhammad Riduan sendiri untuk menghubungi pihak polis, namun usaha tersebut masih gagal.

“Polis juga memaklumkan peguam yang mewakili Indira tentang segala langkah yang diambil oleh polis dalam usaha mengesan penama tersebut dan anaknya,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga hari ini tidak ada mana-mana pihak yang tampil memberikan maklumat tentang kedudukan Muhammad Riduan atau nama asalnya K Pathmanathan.

Akhir tahun lalu, Indira berkata, beliau berharap untuk bertemu semula dengan anak bongsunya, Prasna Diksa apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Indira dilaporkan berkata, beliau kecewa dengan sikap tidak peduli pihak berkuasa untuk mendapatkan kembali anak bongsunya itu.

Pada April 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan pihak polis menahan Muhammad Riduan kerana melarikan Prasana daripada jagaan penjaganya yang sah.

Bagaimanapun ketua polis ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak dapat memenuhi arahan itu kerana wujud percanggahan antara keputusan Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Persekutuan pada Jan 2018 memutuskan penukaran agama 3 anak Indira Gandhi 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel 5 hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama 3 anaknya, iaitu Tevin Darsiny, 21, Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, pada April 2009 tanpa keizinan Indira selepas beliau memeluk Islam.

Bagaimanapun, anak bongsu beliau Prasana Diksa, dilarikan ayahnya sejak 2009.