Ramai ibu bapa ragu-ragu dengan kemampuan si kecil pulang dari sekolah dengan sendiri. Ada yang sudah naik Tahap 2 di sekolah rendah pun masih bergantung sepenuhnya pada ibu bapa untuk pergi balik sekolah.

Sampai pintu masuk sekolah naik kereta, pulang pun kereta ayah sudah sedia menunggu di hadapan pintu masuk, sedangkan rumah hanya beberapa langkah.

Tidak ketinggalan, ibu bapa yang meneman anak dari rumah ke sekolah dan sebaliknya. Enggan biarkan mereka balik sendiri, takut tidak ingat jalan atau sesat.

Mungkin kegusaran mengenai keselamatan anak boleh diterima, namun berapa lama nak dipimpin? Bila mereka nak belajar berdikari?

Menurut pakar kanak-kanak, ibu bapa boleh memberi kepercayaan kepada anak mereka untuk berdikari dari umur 8 hingga 12 tahun.

FMT Ohsem berkongsi beberapa cara untuk ibu bapa mendidik anak berdikari ketika pulang dari sekolah, sama ada berjalan kaki, berbasikal ataupun menggunakan perkhidmatan kenderaan sewa khas.

1. Berjalan kaki ke sekolah – Ajar anak anda perkara berikut, latih lebih awal supaya mereka tahu apa yang dilakukan

  • Cari tempat terdekat dan selamat untuk melintas jalan.
  • Berdiri di atas kaki lima jalan untuk lebih selamat.
  • Undur ke belakang 2 langkah apabila melihat kenderaan besar.
  • Ikut arahan pengawal lalu lintas jika ada.
  • Beritahu mereka, jangan jalan bergandingan bersama kawan.
  • Apabila hendak melintas jalan, lihat kiri lihat kanan, apabila kereta tiada barulah melintas.
  • Perkenalkan kawasan selamat untuk melintas kepada anak seperti lintasan pejalan kaki, laluan bawah, jejantas, lampu isyarat dan jangan melintas di celah-celah kereta.

2. Melintas jalan di lampu isyarat – Ajar anak anda mengenai peraturan berhubung lampu isyarat terlebih dahulu. Mereka mungkin keliru dengan warna lampu dan tanda melintas, pastikan mereka benar-benar faham.

  • Beritahu anak bahawa mereka hanya boleh melintas apabila lampu pejalan kaki berwarna hijau.
  • Apabila lampu hijau berkelip-kelip jangan melintas. Jika sedang melintas teruskan berjalan secepat mungkin.

3. Berjalan kaki pada waktu hujan – Hujan menjadi cabaran besar kepada kanak-kanak. Ingatkan mereka risiko air hujan.

  • Pakai baju hujan yang tidak menghalang pandangan hadapan.
  • Berjalan dengan berhati-hati terutama di tempat yang licin.
  • Sekiranya hujan terlalu lebat beritahu anak supaya tidak pulang dahulu dan tunggu sampai hujan reda.
  • Jangan berteduh di bawah pokok.
  • Jangan gunakan payung ketika hujan terlalu lebat dan angin kencang.
  • Pesan kepada mereka jangan main hujan.

4. Berjalan kaki di tempat sunyi/ semak – Ini adalah peringatan wajib yang anda kena beritahu anak terutama sekali mereka yang masih kecil.

  • Berjalan dalam kumpulan sekurang-kurangnya 2-3 orang.
  • Jika boleh, anak harus belajar seni mempertahankan diri.
  • Sekiranya berlaku kecemasan, jangan panik, jerit dan lari.

5. Kenderaan awam dan bas sekolah – Latih anak supaya mereka kenal pemandu kenderaan tersebut. Sebagai ibu bapa wujudkan hubungan baik dengan mereka supaya pemandu boleh mengawasi anak anda.

  • Kenal pasti kenderaan biasa dinaiki dari nombor plat, pemandu, pembantu pemandu atau identiti khas yang lain.
  • Berbaris dan tidak berebut. Tunggu giliran semasa turun atau naik dan ajarlah mereka untuk tidak menolak sesama sendiri.
  • Jika tiada tempat duduk, berdirilah sambil memegang tempat pemegang dengan berhati-hati.
  • Jangan sesekali naik atau turun bas sedang bergerak.

6. Bawa basikal sendiri – Sediakan basikal yang mudah dikendalikan dan sempurna.

  • Jangan berpegang pada kenderaan lain atau penunggang basikal lain.
  • Jangan menunggang rapat di belakang kenderaan lain.
  • Jangan menunggang bersimpang-siur atau meliuk-liuk atau membelok dengan mengejut.
  • Jangan bawa barang yang boleh mengganggu imbangan badan. Bungkusan, beg atau bukub hendaklah diletak kemas dan diikat pada carriers. Jauhi dari membawa penumpang.

Harap panduan di atas membantu anda melatih anak-anak menjadi lebih bertanggungjawab dan berdikari tanpa bantuan anda di sisi mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]