Orang Asli harap Putrajaya laksana syor Suhakam iktiraf hak tanah
JKOASM juga berharap kerajaan menggubal satu undang-undang dan akta pengiktirafan tanah berdasarkan kes Orang Asli yang menang di mahkamah.
KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) berharap kerajaan persekutuan melaksanakan syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam Inkuiri Nasional hak tanah Orang Asli bagi melindungi dan mengiktiraf tanah komuniti itu.
Pengerusi JKOASM Tijah Yok Chopil berkata, tindakan penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh perlu diambil bagi menyelesaikan perkara itu.
Beliau juga berharap kerajaan menggubal satu undang-undang dan akta pengiktirafan tanah berdasarkan kepada kes Orang Asli yang menang di mahkamah.
“Walaupun kebajikan Orang Asli ada sedikit diambil kira (tidak menyeluruh dan tidak sempurna) oleh pemerintah sebelum ini, mereka mengabaikan hak Orang Asli ke atas tanah atau wilayah tanah adat sejak sekian lama.
“Kedudukan Orang Asli selama ini hanya menumpang di atas bumi sendiri tanpa jaminan yang kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, JKOASM mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara atas usaha komited yang dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu tanah di Kelantan.
“Kerja keras semua pihak yang terlibat, termasuk aktivis Orang Asli tempatan atau di seluruh Malaysia serta komuniti akar umbi di Gua Musang, Kelantan memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa hak Orang Asli harus dihormati dan dikembalikan,” katanya.
Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak kerajaan persekutuan untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.
Kenyataan itu yang memetik Peguam Negara Tommy Thomas berkata, bahawa Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersil pihak swasta.
Sementara itu, Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataan di sini berkata, sekiranya tanggungjawab untuk melaksanakan rundingan diabaikan, kelulusan atau permit syarikat pembalakan yang terlibat harus dibatalkan.
“Adalah diharapkan tindakan ini akan menjadi contoh yang seharusnya diambil oleh kerajaan negeri bagi memelihara hak Orang Asli pada masa depan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Suhakam turut bercadang untuk menghantar pemerhati bagi mengikuti perkembangan kes ini secara terperinci,” katanya.