Aktivis: Kabinet Sabah mungkin bercanggah dengan perlembagaan

Aktivis hak Sabah, Zainnal Ajamain mempersoalkan sekiranya pewujudan kementerian ke-11 dalam Kabinet negeri itu tidak bercanggah dengan perlembagaan Sabah.

KOTA KINABALU: Seorang aktivis hak Sabah mengingatkan kerajaan negeri itu bahawa pewujudan sebuah kementerian baru mungkin bercanggah dengan perlembagaan negeri.

Zainnal Ajamain berkata, di bawah Perkara 6(2) perlembagaan Sabah, Kabinet negeri hendaklah terdiri daripada seorang ketua menteri, dan tidak lebih daripada 10 atau kurang daripada 4 menteri.

“Bagaimanapun sekarang kita ada 11 kementerian. Saya fikir ini bermakna perlembagaan Sabah telah diubah tanpa melalui saluran yang betul,” katanya kepada FMT.

Menteri Kabinet semasa Sabah dilantik pada 16 Mei tahun lepas.

Selepas mengambil alih kerajaan negeri, Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal menggantikan Kementerian Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat dengan Kementerian Pendidikan dan Inovasi, sementara Kementerian Pembangunan Komuniti dan Hal-ehwal Pengguna digantikan dengan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Kementerian Undang-undang dan Hal-ehwal Anak Negeri yang merupakan kementerian ke-11 kerajaan negeri Sabah diumumkan sewaktu perbincangan dengan Putrajaya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedang berjalan.

Zainnal mempersoalkan sekiranya pewujudan kementerian ke-11 itu tidak bercanggah dengan perlembagaan negeri Sabah.

“Mereka boleh menamakan mana-mana kementerian dengan apa-apa nama yang mereka mahu. Saya pasti mereka ada sebab tersendiri, tetapi mereka tidak boleh mengubah perlembagaan,” katanya.

“Mereka menggunakan slogan ‘ubah’. Nampaknya mereka terlupa ‘mengubah’ perkara ini.

“Jika mereka kata kementerian baru itu diwujudkan bagi membantu melaksanakan MA63, itu jelas palsu kerana menteri (yang dilantik) tidak merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Pemandu Kabinet persekutuan mengenai MA63,” kata beliau.