Dakwa beli kad pengenalan Orang Asli, PH buat laporan polis terhadap Lokman Adam

PH menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat bertujuan mencemarkan imej PH dalam PRK Cameron Highlands. (Gambar Bernama)

TANAH RATA: Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Nor Adam, yang mendakwa bahawa PH membeli kad pengenalan Orang Asli bagi menghalang mereka daripada mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Penolong ketua pusat operasi PH di Jelai, Arvind Bharet menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat bertujuan mencemarkan imej PH kepada umum pada pilihan raya itu.

“Saya ingin menekankan bahawa PH tidak akan membiarkan tindakan seumpama itu kerana kami yakin mengundi adalah hak setiap rakyat dalam sebuah negara demokrasi dan hak itu sepatutnya tidak dicabuli dalam apa cara sekali pun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan polis itu dibuat semalam di balai polis Sungai Koyan oleh Arvind sendiri.

Media melaporkan Lokman mendakwa “sumber” Barisan Nasional (BN) membongkar beberapa “individu” yang cuba membeli kad pengenalan daripada kira-kira 2,000 pengundi Orang Asli di kawasan berkenaan dan menambah ia adalah taktik terbaru gabungan berkenaan untuk menang dalam PRK Cameron Highlands.

Sementara itu, calon PH bagi pilihan raya kecil itu, M Manogaran apabila ditemui para pemberita semasa pusingan kempennya hari ini berkata, beliau tidak mengetahui mengenai laporan polis itu.

“Saya tidak tahu pun perkara ini, saya perlu periksa mengenainya,” katanya ringkas.

Dalam perlawanan 4 penjuru PRK ini, Manogaran akan berdepan dengan bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor, 61, yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan 2 calon Bebas, iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminudin Baki Sallehudin Ab Talib, 61, dan Wong Seng Yee, 40, seorang pekebun.

PRK tersebut diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov tahun lepas membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh pada pilihan raya umum ke-14 kerana membeli undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Jan sebagai hari mengundi.