Kutipan cukai langsung 2018 meningkat 11.13% kepada RM137 bilion, kata Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peningkatan hasil ini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan pada 2018.

KUALA LUMPUR: Prestasi kutipan kasar cukai langsung negara bagi 2018 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meningkat 11.13% kepada RM137.035 bilion berbanding 2017, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pencapaian ini mencipta satu sejarah baru dalam kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung yang direkodkan pada 2014, iaitu RM133.70 bilion.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

“Selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang masih menggalakkan pada 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) menyumbang kira-kira 85.35% daripada jumlah keseluruhan kutipan pada 2018.

Komponen syarikat merupakan penyumbang terbesar, iaitu 51.11%, diikuti komponen individu (26.32%), kutipan hasil cukai petroleum (14.66%), kutipan duti setem (4.33%), kutipan cukai pegangan (2.27%), kutipan Cukai Keuntungan Harta Tanah (1.07%), kutipan cukai koperasi (0.12%) dan Labuan IOFC serta lain-lain cukai (0.12%).

“Kerajaan komited untuk mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia dan bagi tujuan tersebut, Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dilancarkan bermula 3 November 2018 dan akan tamat pada 30 Jun 2019 dengan menawarkan pengenaan kadar penalti yang sangat rendah iaitu 10% dan 15%.

“Sehubungan itu, kerajaan menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar segera mengambil peluang menyertai program ini bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu 80% hingga 300% apabila program ini tamat kelak,” katanya.